IBU kota dijangka menjadi bandar raya mampan menerusi KL2040.
Sri Ayu Kartika Amri
kartika@hmetro.com.my


BANDAR raya Kuala Lumpur dijangka menjadi bandar mampan bertaraf dunia menerusi pelaksanaan Pelan Tempatan Kuala Lumpur 2040 (KL2040).

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad berkata, penstrukturan dan perancangan semula Kuala Lumpur bagi tempoh 20 tahun akan datang sangat diperlukan.

Katanya, kerajaan sentiasa terbuka dan bersedia mengambil kira pandangan semua pihak terutama dalam menjadikan Kuala Lumpur sebagai bandar raya mampan dan terus maju dengan kualiti kehidupan lebih baik.

“KL2040 adalah perancangan jangka masa panjang yang meliputi pembangunan dan cabaran daripada pelbagai perspektif seperti perubahan demografik, iklim, gangguan teknologi serta kekurangan tanah.

“Oleh itu, setiap pandangan dan ilmu baharu mengenai perancangan serta pembangunan bandar raya ini perlu dibahaskan, sekali gus mencari penyelesaian terbaik,” katanya selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa World Class Sustainable Cities 2019 (WCSC) di sini, semalam.

Menurutnya, pembangunan tersusun di Kuala Lumpur mampu menjadikannya sebagai bandar raya lestari, maju dan menawarkan kualiti hidup terbaik, selain menyediakan peluang pekerjaan, perumahan dan pengangkutan awam yang berkesan.

Khalid berkata, kerajaan memerlukan pelan yang holistik supaya mengikut garis panduan yang dibuat.

Sementara itu, WCSC 2019 dengan tema NEXT: KL2040 adalah platform terbaik dalam berkongsi pengalaman pengurusan bandar di negara lain seperti Singapura, Australia dan Belanda.

Persidangan yang masuk siri ke-11 itu turut membincangkan mengenai inovatif dan penyelesaian terkini bagi menangani cabaran serta isu perancangan masa depan bandar yang lebih berdaya tahan, inklusif dan mampan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 September 2019 @ 10:15 AM