WAJAH terkini puncak TRX.
Oleh Nabil Basaruddin
nabil.basaruddin@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: Projek pembangunan mega, Tun Razak Exchange (TRX) yang dibangunkan dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM40 bilion mampu mengubah Kuala Lumpur sebagai bandar raya dengan daerah pusat perniagaan (CBD) serta hab kewangan bertaraf antarabangsa.

Ketua Pegawai Eksekutif TRX City Sdn Bhd (TRX City), Datuk Azmar Talib berkata, projek ikonik negara itu juga kini berada dalam landasan tepat untuk disiapkan mengikut tempoh yang ditetapkan.

Katanya, kehadiran pelabur luar negara yang terdiri daripada jenama besar dunia itu bukan sahaja merangsang pembangunan sektor kewangan, malah ia turut menjadikan TRX sebagai destinasi perniagaan antarabangsa yang terkemuka.

“Kehadiran pelaburan asing di pembangunan TRX daripada kalangan peserta industri global juga menjadi faktor pemangkin untuk menjadikan pembangunan ikonik Malaysia ini melonjak setanding hab kewangan dunia yang lain.


MENARA Prudential sudah diduduki sejak Mei lalu.

“Kami mempunyai visi dalam menjadikan TRX sebagai pusat tumpuan bagi mewujudkan limpahan ekonomi dan menarik lebih banyak pelaburan antarabangsa selari dengan fungsinya sebagai hab kewangan global.

“Selain potensi pelaburan, pembangunan projek ini memberi peluang baharu kepada Malaysia yang mana kita dapat meningkatkan kemahiran tempatan dan antarabangsa,” katanya dalam satu temu bual eksklusif bersama Kumpulan Media Prima di sini, semalam.

TRX City adalah pemaju induk bagi pembangunan projek ikonik berkenaan di mana ia adalah syarikat milik penuh Kementerian Kewangan.

Pembangunan projek itu terdiri daripada kawasan tapak seluas 28.33 hektar, 28 plot tanah, 4.05 hektar taman awam dan 21,500 tapak parkir kereta.

Azmar berkata, antara perkembangan terkini di pembangunan TRX adalah Menara Prudential, bangunan pertama di TRX yang mula diduduki sejak Mei lalu.

Menurutnya, pada penghujung tahun depan, bangunan Ibu Pejabat Korporat Affin Bank dan HSBC Malaysia masing-masing setinggi 47 tingkat dan 33 tingkat pula dijangka siap dan bakal diduduki.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 September 2019 @ 7:00 AM