MAVCOM hanya terima 12 aduan membabitkan lapangan terbang.
hmdigital

KUALA LUMPUR: Jumlah aduan yang diterima Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) berkurangan sebanyak 5.6 peratus kepada 810 bagi separuh pertama tahun ini berbanding 858 yang dicatatkan bagi tempoh sama pada 2018.

Edisi keenam Laporan Pengguna Suruhanjaya yang dikeluarkan Mavcom menunjukkan daripada angka terbabit, sebanyak 798 aduan dibuat terhadap syarikat penerbangan manakala 12 lain membabitkan lapangan terbang.

“Mavcom berjaya menyelesaikan 99.3 peratus aduan yang mana penyumbang terbesar aduan itu adalah membabitkan Malaysia Airlines dan seterusnya AirAsia serta Malindo Air,” kata suruhanjaya terbabit pada kenyataan di sini, semalam.

Laporan itu turut menunjukkan bahawa 54 peratus daripada aduan yang diterima bagi tempoh 1 Januari hingga 30 Jun 2019 membabitkan keputusan syarikat penerbangan untuk mengubah keputusan atau penyelesaian awal dan menghasilkan keputusan yang lebih memuaskan pengguna berbanding sebelumnya.

Malaysia Airlines menerima aduan pengguna tertinggi iaitu 413 walaupun angka ini berkurangan daripada 427 aduan yang dicatatkan syarikat itu bagi tempoh sama 2018.

Menurut Mavcom, penerima aduan kedua dan ketiga tertinggi adalah AirAsia dan Malindo Air dengan masing-masing mencatatkan sebanyak 183 dan 103 aduan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 September 2019 @ 6:56 AM