ONG (kiri), Idham dan Chew pada majlis pelancaran XP Lite Celcom.
hmdigital

PETALING JAYA: Celcom Axiata Berhad (Celcom) bersedia menjalin kerjasama dengan mana-mana pihak bagi memenuhi permintaan industri yang semakin meningkat pada masa ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Idham Nawawi berkata, pihaknya melihat permintaan dan pelaburan dalam industri ini berkembang dari semasa ke semasa.

Menurutnya, untuk terus maju ke hadapan sangat penting bagi Celcom menyediakan rangkaian terbaik dan memberi perkhidmatan berkualiti kepada pelanggan.

“Apa yang menjadi keutamaan Celcom pada masa ini bukanlah untuk pengambilalihan atau bergabung, tetapi kami lebih terbuka menjalin kerjasama dengan pihak yang mampu membantu kami dalam membangunkan rangkaian paling baik, sekali gus memberi kualiti setanding pada tawaran harga berpatutan.

“Kami mencari kerjasama dalam beberapa segmen yang boleh memberi kos efektif kepada Celcom,” katanya selepas pelancaran XP Lite Celcom di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Pegawai Produk dan Inovasi Celcom, Roy Ong serta Ketua Konsumer dan Pegawai Perniagaan Kediaman Celcom, Danny Chew.

Selaras dengan perkembangan terkini, Celcom menawarkan pelanggan Celcom Xpax dengan pelan pasca bayar yang berpatutan iaitu XP Lite pada harga bermula RM28 sebulan.

Roy berkata, XP Lite menyediakan pelanggan pilihan untuk pas penggunaan yang lebih banyak Internet dan ganjaran bersama rangkaian 4G LTE terbaik.

Menurutnya, pelanggan yang mendaftar dengan XP Lite pada RM28 bakal menikmati panggilan tanpa had dan Internet 1GB sebulan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 September 2019 @ 6:52 AM