TANGGAPAN Malaysia adalah negara jerebu beri implikasi tidak baik. FOTO BERNAMA
Oleh Nabil Basaruddin
nabil.basaruddin@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: Jerebu yang melanda negara khususnya di bandar utama boleh menjejaskan ekonomi jika bencana terbabit terus berlarutan tanpa ditangani dengan segera.

Setakat ini, antara bandar yang terjejas teruk adalah di Sri Aman dan Kuching, Sarawak; Port Dickson, Negeri Sembilan dan Johan Setia, Klang, Selangor.

Pengurus Pembangunan Perniagaan Putra Business School (PBS), Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, kerajaan dalam hal ini perlu bersikap tegas bagi memastikan pertumbuhan ekonomi tidak akan terjejas secara keseluruhannya.

Bagaimanapun, katanya, jika ia berlaku setiap tahun dan meskipun hanya pada tempoh beberapa minggu sahaja, ia akan mewujudkan tanggapan bahawa Malaysia sebagai negara yang sering dilanda jerebu.

“Tanggapan seperti ini akan menyebabkan banyak aktiviti mahupun hubungan dagangan akan tertangguh dan akhirnya menjejaskan ekonomi negara.

“Malah, dalam hal ini juga kita dapat melihat banyak industri akan mula terkesan dengan sektor pelancongan, pembinaan, peladangan dan pertanian paling teruk merasa impaknya,” katanya kepada Bisnes Metro di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Ahmed Razman berkata, kerajaan perlu memainkan peranan penting melalui rundingan yang mana ia seharusnya dilaksanakan di peringkat pimpinan tertinggi antara negara yang terbabit.

Menurutnya, usaha rundingan di peringkat itu juga adalah penting supaya setiap perjanjian dan dasar dapat dipatuhi serta dihormati bagi mengelakkan bencana ini daripada berulang kembali.

“Mana-mana syarikat Malaysia yang beroperasi di luar negara juga perlu mematuhi undang-undang negara terbabit bagi menjaga nama baik Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) berkata, Darurat Bencana Jerebu hanya dibuat apabila bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 500.

Berdasarkan rekod dari laman web Global Forest Watch Fires, terdapat 31,367 kebakaran berlaku di Indonesia yang direkodkan dari 8 hingga 15 September lalu.

Malah, data terbabit turut menunjukkan 369 kebakaran berlaku dalam Malaysia.

Pengendali lapangan terbang, Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) baru-baru ini berkata, prosedur operasi penglihatan yang rendah di lapangan terbang akan dikuatkuasakan hanya apabila penglihatan mendatar jatuh di bawah 400 meter akibat jerebu.

Selain Malaysia, Indonesia turut terkesan dengan jerebu terbabit dengan hampir 100 penerbangan terpaksa dilencong atau dibatalkan di negara itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 September 2019 @ 6:54 AM