NAP 2019 akan dilaksanakan melalui tiga fasa sehingga tahun 2030.
hmdigital

KUALA LUMPUR: Dasar Automotif Negara (NAP) 2019 yang bakal diumumkan kelak akan dilaksanakan secara tiga fasa sehingga tahun 2030 dengan turut menekankan usaha Malaysia sebagai pengeluar kenderaan hibrid dan cekap tenaga (EEV).

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii), Datuk Madani Sahari berkata, pelaksanaan fasa pertama sehingga 2023-2024 akan turut meliputi kesinambungan pelaksanaan NAP 2014 sebelum ini.

“Fasa pertama NAP 2019 akan memberi penekanan kepada penambahbaikan dasar polisi dengan teknologi baharu termasuklah dari segi modal insan dan kecekapan tenaga pekerja.

“Pada masa sama, kami akan turut menggabungkan elemen lain yang boleh diterapkan dalam usaha menjadikan Malaysia pengeluar kenderaan hibrid dan kenderaan EEV,” katanya.

Madani berkata, ini termasuk elemen seperti pengeluaran bateri, sistem pengurusan, stesen pengecas dan yang berkaitan, manakala fasa berikutnya akan menitikberatkan aspek terkini seperti teknologi 5G.

Sejajar itu, kata beliau, NAP 2019 juga bakal menyaksikan MARii mengubah fokus EEV kepada kenderaan generasi baharu atau NxGV.

Laporan media sebelum ini menyatakan definisi NxGV dalam NAP 2019 dijangka siap seawal 2022 dan pelaksanaannya bermula pada 2025.

Beliau berkata, perbezaan kenderaan EEV dan kenderaan NxGV adalah elemen kesalinghubungan atau connectivity bagi menyuntik pengalaman pemanduan dalam kenderaan yang turut ditambah nilai dengan aspek lain.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 September 2019 @ 7:39 AM