AHMAD Adly (kiri) hadir merasmikan Persidangan Perkapalan Mesra Alam 2019.
hmdigital

KUALA LUMPUR: Petronas akan memulakan perkhidmatan pengisian bahan api cecair gas asli (LNG) untuk kegunaan kapal secara komersial pada 1 Januari depan.

Langkah itu sejajar aspirasi kerajaan menjadikan Malaysia sebagai hab pengisian bahan api LNG serantau.

Naib Presiden Pemasaran dan Perdagangan LNG Petronas, Ahmad Adly Alias berkata, kejayaan RGT Pengerang menjalankan operasi pengisian bahan api LNG menerusi LNG Bunker Vessel (LBV) Kyros Oktober tahun lalu menunjukkan kesediaan syarikat memulakan aktiviti pengisian bahan api LNG untuk kapal.

Katanya, Petronas memeterai perjanjian pembekalan dengan beberapa pelanggan, namun beliau enggan mengulas lebih lanjut kerana ia masih pada peringkat awal.

“Kami berusaha membina kapasiti pembekalan. Menerusi kerjasama cabang perkapalan kumpulan iaitu MISC Bhd dan Avenir LNG Ltd, kami menyewakan LBV berkapasiti 7,500cbm yang akan mengambil bekalan bahan api LNG kami di RGT Sungai Udang atau RGT Pengerang untuk mengisi bahan api kapal lain.

“Petronas Dagangan juga akan bertindak sebagai ejen pemasaran menawarkan LNG sebagai pilihan baharu kepada pelanggan bersama-sama produk bahan api sedia adanya,” katanya selepas merasmikan Persidangan Perkapalan Mesra Alam 2019 di sini.

Persidangan itu memfokuskan kepada aktiviti pengangkutan marin mesra alam sejajar pelaksanaan undang-undang IMO2020 yang mengehadkan kandungan sulfur dalam bahan api marin kepada 0.5 peratus menjelang 1 Januari 2020, berbanding kini 3.5 peratus.

Pelaksanaan IMO2020 oleh Organisasi Maritim Antarabangsa (IMO) itu bakal memangkin peralihan penggunaan bahan api kapal kepada LNG sebagai pilihan bahan api yang lebih bersih, tanpa sulfur dan mesra alam, berbanding bahan api tradisional.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 September 2019 @ 7:10 AM