GOEL (kiri) dan Aranols (dua dari kanan) ketika melancarkan varian KITKAT edisi terhad sempena Hari Malaysia.
Oleh Hamizah Badiran
hamizah@hmetro.com.my


PETALING JAYA: KITKAT memperkenalkan produk terbaharunya, KITKAT Roti Canai dan Kari edisi terhad iaitu wafer coklat dengan rasa menu sarapan kegemaran ramai itu sempena sambutan Hari Malaysia dan ulang tahun ketiga KITKAT Chocolatory Malaysia.

Pegawai Eksekutif Unit Perniagaan Konfeksioneri (Pasaran Asean) Nestle (Malaysia) Berhad, Sachin Goel berkata, pihaknya bangga dapat mengeluarkan produk yang unik untuk dinikmati penggemarnya.

Menurutnya, KITKAT sentiasa mencuba dan memperkenalkan inovasi dalam mencipta perisa baharu kegemaran rakyat Malaysia.

“Kali ini, kami hadir dengan ciptaan terulung dan unik apabila roti canai dan kari diolah dalam bentuk wafer coklat.

“Selain itu, kami turut menghasilkan perisa lain mengikut gaya KITKAT iaitu Kopi dan Kaya Crunch, Cendol Durian dan Nasi Lemak.


KITKAT terus memperkenalkan coklat berperisa inovatif.

“Kami menghasilkan KITKAT dengan semua perisa tempatan ini kerana ingin mereka di luar sana merasai sendiri gabungan sempurna antara manis dan savuri yang mampu memberikan keterujaan,” katanya pada majlis pelancaran wafer edisi terhad itu di sini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Ekseskutif Nestle (Malaysia) Berhad, Juan Aranols dan selebriti popular Nabila Razali serta Elizabeth Tan.

Wafer coklat baharu edisi terhad itu hanya boleh didapati di kedai pop up Sunway Pyramid mulai sekarang hingga 6 Oktober depan.

Selain itu, orang ramai juga boleh mendapatkan keluaran KITKAT edisi terhad berkenaan melalui platform dalam talian seperti Lazada atau Shopee.

Ia dijual pada harga RM15.99 (pek individu) dan RM39.90 untuk pek kombo.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 September 2019 @ 6:17 AM