LIM Guan Eng ketika Program Khas Pengakuan Sukarela (PKPS). FOTO Syarafiq Abd Samad
Mohamad Hussin
mohamad_hussin@hmetro.com.my


EKONOMI Malaysia dijangka berkembang secara lestari pada suku ketiga tahun ini selepas keluaran dalam negara kasar (KDNK) berkembang dengan kukuh pada 4.9 peratus pada suku kedua tahun ini.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, data Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) menunjukkan pelaburan asing yang diluluskan pada separuh pertama tahun ini telah meningkat 97.2 peratus kepada RM49.5 bilion berbanding RM25.1 bilion tahun lalu.

Katanya, kerajaan akan memanfaatkan sepenuhnya peluang perdagangan antara Amerika Syarikat dan China dengan menarik pelabur asing ke Malaysia terutama dalam sektor perkilangan dalam usaha untuk mewujudkan peluang pekerjaan.

“Justeru, Bajet 2020 yang akan dibentangkan akan menjadi landasan bagi kerajaan dalam menyelaraskan strategi dan dasar untuk meningkatkan pertumbuhan ekonomi Malaysia tanpa membebankan rakyat.

“Kerajaan mempunyai tugas berat bukan sahaja menguruskan tabung negara tetapi pada masa sama mengurangkan hutang yang dibebani dengan tetap mempertahankan defisit fiskal yang sihat.

“Bagaimanapun, saya menekankan bahawa ekonomi Malaysia masih berkembang dengan ketara dan berada pada arah aliran menaik. Ia terbukti dengan kutipan cukai meningkat sebanyak 8.94 peratus pada 31 Ogos lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Khas Pengakuan Sukarela (PKPS) di Menara Hasil, Petaling Jaya, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Datuk Seri Sabin Samitah.

Sementara itu, Lee berkata, beliau menafikan kerajaan meluluskan projek bernilai RM450 juta di Kota Baru, Kelantan melalui rundingan terus.

“Saya tidak tahu menahu mengenai projek ini dan akan berbincang dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung dakwaan berkenaan.

“Saya tidak pernah tandatangan projek itu tetapi saya akan berbincang dengan Perdana Menteri berhubung perkara ini termasuk menyemak dengan kakitangan Kementerian Kewangan berhubung isu ini,” katanya.

Ia berikutan surat yang tersebar di media sosial mengatakan Kementerian Kewangan bersetuju syarikat tertentu dilantik melalui rundingan terus bagi pembinaan bangunan Gunasama Persekutuan di Tunjong, Kota Bharu, Kelantan dengan kos RM450 juta.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 September 2019 @ 12:44 PM