MAXIS, Cisco jalin kerjasama strategik jadi penyedia ICT.
Sofyan Rizal Ishak
sofyan.rizal@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: Maxis Bhd (Maxis) menjalinkan kerjasama strategik dengan peneraju teknologi global, Cisco untuk menjadi penyedia komunikasi teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) konvergen terkemuka di Malaysia bagi perusahaan dan kerajaan.

Melalui kerjasama itu, Maxis mengumumkan tawaran pertama bagi pasaran Malaysia iaitu penyelesaian Managed Software-Defined Wide Area Network (SD-WAN) untuk perniagaan.

Ketua Pegawai Perniagaan Perusahaannya Paul McManus berkata, penyelesaian rangkaian berasaskan perisian terbabit memberi fleksibiliti menyeluruh serta membolehkan perusahaan terus berkembang mengikut keperluan dalam dunia yang didorong digital, awan dan data.

“Oleh itu, kami sangat teruja bekerjasama dengan Cisco bagi memperkasakan syarikat dalam mendapat manfaat penting daripada penyelesaian rangkaian digital generasi akan datang,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

SD-WAN adalah teknologi rangkaian generasi akan datang yang memudahkan pengurusan, penyebaran dan pentadbiran dalam keperluan rangkaian organisasi.

Ini membolehkan tugasan operasi seperti konfigurasi, pengurusan dan penyelenggaraan dapat dipermudahkan serta membolehkan perniagaan menikmati manfaat daripada peningkatan kewujudan dan pengurangan kos apabila memilih beroperasi melalui sambungan cekap kos dengan pelbagai penyelesaian rangkaian Maxis.

Beliau berkata, terdapat manfaat yang signifikan daripada SD-WAN bagi perusahaan yang bermatlamat untuk menjadi lebih pantas.

“Mereka akan mendapat akses kepada penyelesaian sambungan konvergen fleksibel, boleh diskala dan cekap kos terutamanya jika ia diuruskan oleh Maxis,” katanya.

Sementara itu, Presiden Cisco Asean Naveen Menon berkata, keupayaan pihaknya dalam seni bina berasaskan awan dan kelebihan rangkaian Maxis menjadi asas kepada kerjasama itu dan ia langkah penting dalam melonjakkan transformasi digital dan memacu cara baharu bekerja untuk perusahaan.

“Tenaga kerja moden menjadi semakin mudah alih dan aplikasi kritikal melalui Internet merentasi pelbagai awan di mana perniagaan boleh berhubung dengan sebarang pengguna dan aplikasi di mana-mana saja melalui kuasa awan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 September 2019 @ 7:13 AM