SAIFUDDIN (tengah) menandatangani plak pada Majlis perasmian Pusat 3S Volvo oleh Ingress Swede Automobile di Mutiara Damansara. Hadir sama Naib Pengerusi Ingress Corporation Berhad, Datuk Rameli Musa (kanan) dan Pengarah Urusan Kereta Volvo Malaysia, Nalin Jain. FOTO: Mustaffa Kamal
Lizam Ridzuan
lizamridzuan@hmetro.com.my


INGRESS Corporation Berhad melalui anak syarikatnya Ingress Swede Automobile, pengedar kenderaan jenama Volvo di negara ini memperuntukkan pelaburan RM5 juta bagi pembukaan pusat jualan, servis dan alat ganti (3S) pertamanya.

Presiden Bahagian Pengedaran Automotifnya, Rabian Ab Rahman berkata, selepas menjadi pengedar untuk jenama BMW, Mini dan Mitsubishi, pihaknya melihat Volvo sebagai antara jenama premium yang berpotensi untuk berkembang.

“Jenama Volvo sudah dikenali kerana kualiti rekaan dan ciri keselamatan terbaik yang ditawarkan dan ia perlu seiring dengan nilai pembelian.

“Selain menyasarkan jualan sehingga 80 unit model Volvo pada tahun ini, kami turut mengutamakan strategi khidmat selepas jualan terbaik kepada pemilik terutama di kawasan Lembah Klang,” katanya pada majlis perasmian yang disempurnakan, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, di Petaling Jaya, semalam.

Sementara itu, Pengarah Urusan Volvo Car Malaysia, Nalin Jain berkata, pusat pameran ke-12 di Malaysia itu menepati ciri Pengalaman Jualan Volvo (VRE) serta konsep warisan Scandinavia yang diketengahkan dan bakal membuka tiga lagi pusat 3S pada tahun ini.

“Selain memberi keselesaan kepada pengguna, pendekatan jualan dan khidmat servis dengan ciri teknologi terkini mampu menarik lebih ramai pelanggan merasai pengalaman memiliki jenama Volvo,” katanya.

Jenama Volvo mencatatkan peningkatan jualan lebih 60 peratus dari tahun ke tahun sehingga Jun 2019 dan menjangkakan angka positif sehingga hujung tahun melalui pengenalan model baru tidak lama lagi.

Pusat 3S Volvo oleh Ingress Swede memiliki enam tapak servis dengan lapan juruteknik berpengalaman.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 September 2019 @ 8:51 PM