KETUA Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz.
Nabil Basaruddin
nabil.basaruddin@hmetro.com.my


CIMB Group Holdings Bhd membuat perubahan pengurusan tertingginya dengan melantik Ahmad Shahriman Mohd Shariff sebagai Ketua Eksekutif (CEO) CIMB Islamic Bank Bhd dan Perbankan Islamik Kumpulan.

Beliau akan menggantikan Rafe Haneef yang dilantik sebagai CEO Perbankan Transaksi Kumpulan berkuatkuasa 1 Oktober depan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz berkata, aset strategik kumpulan terdiri daripada kalangan bakat di bank ini.

“Saya yakin dengan pertukaran di bahagian pengurusan kanan ini yang menggabungkan bakat baharu dan sedia ada yang akan mengukuhkan perniagaan bank ini.

“Ia juga membolehkan kumpulan akan terus kekal kompetitif sebagai peneraju di Asean,” katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur, hari ini.

Shahriman mempunyai pengalaman luas dalam pelbagai kapasiti dan fungsi selama 16 tahun serta mengetuai jawatan berbeza di beberapa institusi kewangan global.

Antara pengalamannya termasuklah dalam pasaran modal dan perbankan global, perbankan Islamik dan penstrukturan Islamik di rantau Asia Pasifik.

Sementara itu, Rafe Haneef pula yang ketika ini CEO CIMB Islamic Bank dan Perbankan Islam Kumpulan CIMB bakal menjadi CEO Transaksi Perbankan Kumpulan berkuat kuasa 1 Oktober ini.

Sejak menyertai CIMB, Rafe merekodkan pelbagai pencapaian cemerlang seperti model dwiperbankan serta memanfaatkan perniagaan perbankan konvensional untuk mengembangkan perniagaan CIMB Islamic.

Bersama pelantikan baharu itu, Victor Lee Meng Teck yang menerajui operasi sebagai CEO Perbankan Komersial Kumpulan bakal mempunyai portfolio tambahan sebagai Ketua Negara Singapura di CIMB Bank Singapura bermula 1 Januari 2020.

Victor mengambil alih kepimpinan Mak Lye Mun yang akan bersara dari jawatannya ketika ini pada 31 Disember depan.

Perubahan baharu itu juga bertujuan untuk membantu memancu bank berkenaan dalam memenuhi keperluan strategiknya berdasarkan pelan pertumbuhan Forward23 bagi tempoh 2019 hingga 2023.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 September 2019 @ 7:49 PM