AXIATA terus jalin usaha sama dengan TM tawar perkhidmatan lebih baik kepada pengguna. FOTO ASYRAF HAMZAH
hmdigital

KUALA LUMPUR: Axiata Group Berhad (Axiata) tidak akan melaksanakan sebarang usaha penggabungan bersama Telekom Malaysia Berhad (TM) sebaliknya terus menjalin usaha sama bagi menawarkan perkhidmatan lebih baik kepada pengguna.

Penganalisis Hong Leong Investment Bank (HLIB), Tan J Young berkata, kerjasama rapat dengan TM itu termasuk untuk membangun dan mempertingkatkan rangkaian gentian bagi memacu penumpuan terhadap operasi dan teknologi 5G.

“Buat masa ini, kami tidak melihat Axiata akan bergabung bersama TM, namun yakin akan wujud lebih banyak kerjasama dalam mempertingkat perkhidmatan dalam segmen ini khususnya dalam teknologi 5G.

“Berakhirnya rundingan penggabungan mega antara Axiata dan Telenor, pasaran mudah alih Malaysia kekal dengan kehadiran lima peserta industri telekomunikasi setakat ini,” katanya dalam nota penyelidikannya di sini, semalam.

Axiata dan Telenor pada minggu lalu secara bersama bersetuju menamatkan rundingan menggabungkan operasi telekomunikasi Asia mereka yang sepatutnya membentuk juara global baharu.

Kedua-dua syarikat itu bersetuju menamatkan perbincangan berikutan beberapa kerumitan berkaitan cadangan penggabungan itu.

Namun, kedua-dua pihak masih mengakui rasional strategik yang kukuh membabitkan cadangan penggabungan itu dan tidak menolak kemungkinan urus niaga lain pada masa akan datang tanpa mengulas lanjut mengenainya.

Menurutnya, meskipun tiada rancangan penggabungan semula dengan TM, Kumpulan Axiata akan terus meneroka rancangan untuk memperkukuhkan perniagaan dalam edotco dan perniagaan digital kumpulannya.

“Axiata akan mengkaji semula pelan pengukuhan terhadap edotco dan tidak menolak jalan lain selain tawaran awam permulaan (IPO).

“Pilihan untuk perniagaan digital seperti Boost dan apigate juga akan dinilai. Bagaimanapun, tiada garis masa disediakan mengenai hal ini,” katanya kepada Bisnes Metro.

Mengulas lanjut, berikutan kegagalan rundingan itu juga, keadaan pasaran sektor terbabit kini kembali kepada situasi asal yang mana persaingan adalah antara peserta industri untuk kekal relevan.

“Malah, persaingan ini juga akan bertumpu kepada peruntukan spektrum khususnya dengan cadangan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) yang bercadang untuk membahagikan 700MHz hanya empat blok kepada 2x10MHz,” katanya.

Sementara itu, dalam nota penyelidikan yang sama, sektor telekomunikasi tempatan dilihat berada pada tahap stabil dengan sokongan oleh permintaan domestik yang berdaya tahan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 September 2019 @ 7:17 AM