RAVINDRAN (kiri) pada majlis pelancaran dua model baharu Lexus.
Lizam Ridzuan
lizamridzuan@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: Lexus Malaysia, pengedar rasmi kenderaan jenama Lexus di negara ini melancarkan dua model iaitu Lexus ES Serba Baharu dan RX baharu untuk pasaran tempatan.

Presidennya, K Ravindran berkata, kedua-dua model ini menerima sentuhan pembaharuan pada rekaan serta ciri keselesaan dan keselamatan terkini sesuai dengan statusnya sebagai jenama premium mewah.

“Lexus sentiasa menawarkan kenderaan dengan pengalaman pemanduan menarik serta rekaan g inovatif dan futuristik terutama untuk dua model ini yang sentiasa mendapat permintaan tinggi dalam pasaran,” katanya pada majlis pelancaran dua model berkenaan di sini, baru-baru ini.

Lexus ES Serba Baharu dengan tema Provocative Elegance adalah kenderaan sedan mewah yang kini ditawarkan dalam dua varian iaitu ES 250 Luxury dan ES 250 Premium dengan tujuh pilihan warna serta dua pilihan warna untuk ruang dalaman iaitu coklat dan hitam.

Model generasi ketujuh itu juga kini 65 milimeter (mm) lebih panjang serta kelebaran ditambah 45mm namun, ketinggian dikurangkan sebanyak 5mm.

Ia juga menawarkan kelesaan penumpang belakang dengan ruang kaki ditambah 10mm selain didatangkan dengan moonroof dan kemasan gril corak gelendong menyerlahkan identiti jenama ini.

Lexus ES 250 Premium dan Luxury dijana enjin 2.5 liter empat silinder petrol untuk kuasa kuda 204 hp pada 6,600 rpm serta tork 247 Nm pada 5,000 rpm dijual masing-masing pada harga RM299,888 dan RM332,888 (atas jalan tanpa insurans).

Untuk model Lexus RX Baharu iaitu kenderaan utiliti sukan (SUV) yang mula memasuki pasaran pada tahun 1998 kini ditawarkan melalui model RX 300 dengan tiga varian iaitu Premium, Luxury dan F Sport serta dua tambahan warna baharu Terrane Khaki Mica dan Ice Ecru Mica Metallic.

Antara pembaharuan yang diberi ialah gril hadapan baharu, lampu hadapan dengan bentuk lebih tajam yang didatangkan lampu nyalaan siang (DRL) dengan rekaan bentuk L pada bahagian lampu belakang.

RX 300 dijual pada harga RM399,888 (Premium), RM424,888 (Luxury) dan RM439,888 (F Sport) (atas jalan tanpa insurans) dan semua model Lexus dengan lima tahun waranti tanpa had perbatuan ditawarkan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 September 2019 @ 6:52 AM