LIM (kanan) bersama Liew ketika melancarkan Menara Prudential, semalam. FOTO Supian Ahmad
Sri Ayu Kartika Amri
kartika@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak akan memperkenalkan sebarang cukai baharu kepada sektor swasta dan komuniti pelaburan dalam pembentangan Belanjawan 2020 yang diadakan pada Oktober ini.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, kerajaan juga akan meninjau ruang fiskal untuk mengekalkan pertumbuhan ekonomi sedia ada.

Katanya, paling penting adalah untuk memberi keutamaan kepada pembangunan ekonomi negara.

“Kami memang mempunyai beberapa peraturan fiskal sedia ada, namun jika perlu kami akan mengambil inisiatif dan langkah untuk memberi keutamaan kepada pertumbuhan ekonomi.

“Untuk memberi keyakinan kepada sektor korporat dan juga pelaburan, kerajaan tidak akan perkenalkan langkah-langkah atau percukaian baharu iaitu tambahan kepada cukai yang sedia ada.

“Bagaimanapun, maklumat lebih terperinci mengenai cukai ini akan dibentangkan pada Belanjawan akan datang (11 Oktober 2019),” katanya pada sidang media selepas melancarkan Menara Prudential di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Prudential Assurance Malaysia Berhad, Gan Leong Hin, Ketua Eksekutif Prudential Korporat Asia, Nic Nicandrou dan Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan IJM Corporation Berhad, Liew Hau Seng.

Sementara itu, Lim turut mengulas mengenai kadar penembusan produk insurans konvensional dan takaful di Malaysia yang masih rendah dan jauh daripada sasaran ditetapkan.

Menurut Lim lagi, hampir separuh daripada rakyat negara ini masih tidak mempunyai insurans dan kadar 55 peratus penembusan berkenaan dilihat tidak berubah untuk tempoh beberapa tahun.

“Kerajaan dan Bank Negara Malaysia (BNM), sudah mengambil usaha untuk merealisasikan agenda nasional dalam mencapai 75 peratus kadar penembusan insurans menjelang 2020.

“Kerajaan juga telah memperkenalkan skim perlindungan nasional B40 yang dikenali mySalam bagi membina kepercayaan terhadap insurans dan perlindungan takaful.

“Kami akan melihat semula sasaran ini berikutan ia kelihatan sedikit sukar untuk mencapai kadar 75 peratus itu pada tahun depan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 September 2019 @ 6:45 AM