YAP menunjukkan model pasar minggu Luasempit@MTC di Bandar Pelancangan Malaysia di Kuala Lumpur, semalam. FOTO Owee Ah Chun
Sofyan Rizal Ishak
sofyan.rizal@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: Meridian Bhd (Meridian), pemaju Bandar Pelancongan Malaysia (MTC) di Melaka menawarkan 3,000 unit kedai kepada peniaga melalui tarikan terbaharunya, pasar minggu Luasempit@MTC yang bakal beroperasi September tahun depan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seth Yap berkata, peniaga berpeluang menyewa kedai terbabit yang memiliki keluasan 100 kaki persegi setiap unit pada harga RM2,500 sebulan.

“Untuk jumlah sewaan, peniaga berpeluang memiliki kedai yang bakal dikunjungi dua juta pelancong setahun dan akses kepada saluran omni kami iaitu 20 platform beli-belah dalam talian serantau seperti Thailand, Indonesia, Singapura, Vietnam dan Filipina,” katanya pada majlis pengumuman Luasempit dan rakan kongsinya di sini, semalam.

Pasar minggu Luasempit@MTC yang dibuka setiap Jumaat dan Sabtu bakal menjadi pasar minggu terbesar dunia dengan keluasan sehingga 40.46 hektar.

Katanya, 40 peratus daripad lokasi berkenaan adalah tasik dan ia mengambil inspirasi daripada pasar minggu Chatuchak iaitu destinasi beli-belah popular di Thailand yang berjaya menarik 200,000 pelawat sehari.

Beliau berkata, pada masa ini sambutan terhadap unit kedai itu menggalakkan dengan 40 peratus peniaga sudah mendaftarkan minat masing-masing.

“Bagaimanapun, kami tidak akan mencari sehingga 3,000 penyewa kerana sesetengah daripada mereka akan mengambil lebih daripada satu unit,” katanya pada majlis perjanjian dan mengumumkan kerjasama dengan rakan kongsinya.

Rakan kongsi iaitu airasia.com, Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta) serta Traveloka bagi mempromosikan pasar minggu Luasempit dan MTC di pasaran domestik dan luar negeri.

Yap berkata, pihaknya merancang menganjurkan pasar minggu yang akan menampilkan produk yang boleh didapati secara harian bagi membolehkan peniaga menjalankan operasi perniagaan di tempat lain.

“Ini strategi kami bagi membina usahawan tempatan. Melalui pasar yang beroperasi pada hujung minggu, peniaga tidak perlu berhenti kerja jika mereka memiliki sumber pendapatan lain pada hari biasa.

“Apabila pendapatan perniagaan daripada pasar kami dan saluran omni stabil, mereka boleh memberi fokus kepada pengukuhan perniagaan mereka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 September 2019 @ 6:15 AM