Lizam Ridzuan
lizamridzuan@hmetro.com.my


LEXUS Malaysia, pengedar rasmi kenderaan jenama Lexus di negara ini melancarkan dua model iaitu Lexus ES Serba Baharu dan RX baharu untuk pasaran tempatan.

Presidennya, K Ravindran berkata, kedua-dua model ini menerima sentuhan pembaharuan pada rekaan serta ciri keselesaan dan keselamatan terkini sesuai dengan statusnya sebagai jenama premium mewah.

“Lexus sentiasa menawarkan kenderaan dengan pengalaman pemanduan yang menarik serta rekaan yang inovatif dan futuristik terutama untuk dua model ini yang sentiasa mendapat permintaan tinggi dalam pasaran,” katanya pada majlis pelancaran hari ini.

Lexus ES Serba Baharu dengan tema Provocative Elegance adalah kenderaan sedan mewah yang kini ditawarkan dalam dua varian iaitu ES 250 Luxury dan ES 250 Premium dengan tujuh pilihan warna serta dua pilihan warna untuk ruang dalaman iaitu coklat dan hitam.

Model generasi ketujuh itu juga kini 65 milimeter (mm) lebih panjang serta kelebaran ditambah 45 mm namun, ketinggian dikurangkan sebanyak 5 mm.

Ia juga menawarkan kelesaan penumpang belakang dengan ruang kaki ditambah 10 mm.

Model ini didatangkan dengan ‘moonroof’ dan kemasan gril corak gelendong menyerlahkan identiti jenama ini.

Ia turut dilengkapi lampu hadapan nipis dan lampu isyarat membelok berbentuk L juga rim aloi 18 inci gaya sentuhan premium.

Lexus ES 250 Premium dan Luxury dijana enjin 2.5 liter empat silinder petrol untuk kuasa kuda 204 hp pada 6,600 rpm serta tork 247 Nm pada 5,000 rpm dijual masing-masing pada harga RM299,888 dan RM332,888 (atas jalan tanpa insurans).

Untuk model Lexus RX Baharu iaitu kenderaan utiliti sukan (SUV) yang mula memasuki pasaran pada tahun 1998 kini ditawarkan melalui model RX 300 dengan tiga varian iaitu Premium, Luxury dan F Sport serta dua tambahan warna baharu Terrane Khaki Mica dan Ice Ecru Mica Metallic.

Antara pembaharuan yang diberi ialah gril hadapan baharu, lampu hadapan dengan bentuk lebih tajam yang didatangkan lampu nyalaan siang (DRL) dengan rekaan bentuk L pada bahagian lampu belakang.

Untuk pintu but, melalui varian Luxury dan F Sport, ia boleh dibuka bebas tangan hanya dengan meletakkan kaki di bawah bampar serta ruang dalaman kini dengan paparan skrin sesentuh bersaiz 12.3 inci untuk fungsi hiburan dan maklumat.

RX300 dijana enjin 2.0 liter petrol dengan pengecas turbo twin-scroll untuk kuasa kuda 235 hp pada 4,800 hingga 5,600 rpm dan tork 350 Nm pada 1,650 hingga 4,000 rpm.

RX 300 dijual pada harga RM399,888 (Premium), RM424,888 (Luxury) dan RM439,888 ( F Sport) (atas jalan tanpa insurans) dan semua model Lexus dengan lima tahun waranti tanpa had perbatuan ditawarkan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 September 2019 @ 10:01 PM
RAVINDRAN (kiri) ketika majlis pelancaran Lexus ES Serba Baharu dan RX. FOTO/MAHZIR MAT ISA