Loh. FOTO Azhar Ramli
Sofyan Rizal Ishak
sofyan.rizal@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: Digi Telecommunications Sdn Bhd (Digi) memperkenalkan Digi Home Fibre di Sabah untuk menyokong keperluan digital yang semakin berkembang di negeri itu, sekali gus mengukuhkan komitmennya bagi menghubungkan lebih ramai rakyat di seluruh negara.

Produk itu adalah tawaran jalur lebar gentian komersial pertama Digi rentetan beberapa pelancaran rintis yang dilakukan pada awal tahun ini di kawasan terpilih seperti Jasin, Subang, Rawang dan Kajang.

Ketua Pegawai Pemasaran Digi, Loh Keh Jiat berkata, sambungan berkelajuan tinggi adalah kunci utama kepada penduduk Sabah dengan pelanggan menggunakan purata 11.4 GB data sebulan.

“Mereka suka Internet dan sebahagian pengguna Internet terbesar di rangkaian kami. Pelanggan di Sabah terus memilih Digi sebagai penyedia sambungan mudah alih pilihan mereka.

“Pengenalan Digi Home Fibre ini memberi peluang kepada kami untuk memberikan nilai terbaik serta pengalaman Internet konsisten dan lancar di dalam atau luar rumah,” katanya.

Digi Home Fibre menawarkan kelajuan tanpa had sehingga 1Gbps pada harga bermula serendah RM99 sebulan dengan modem dan pemasangan percuma dalam dua hari.

Pelanggan sedia ada dan baharu di Sabah boleh menikmati rebat seumur hidup sehingga RM20 apabila melengkapkan pelan Digi pasca bayar bersama pelan Digi Home Fibre.

Melalui pelan pukal ini, Digi Home Fibre ditawarkan pada harga bermula RM89 sebulan untuk 50Mbps dan mencapai sehingga RM179 sebulan untuk 1Gbps dan bukan RM199 sebulan dengan promosi istimewa ini berlangsung sehingga 30 September 2019.

Beliau berkata, akses lebih baik untuk sambungan berkualiti tinggi dan berpatutan adalah pemangkin utama bagi peluang sosio ekonomi yang lebih besar bagi rakyat Malaysia serta mempercepatkan transformasi digital.

“Sabah adalah kawasan keutamaan bagi kami dan kami percaya negeri yang memiliki banyak sambungan akan membolehkan lebih ramai rakyat Sabah dan perniagaan untuk mengambil bahagian dalam ekonomi digital, memacu pertumbuhan dan menbentuk negeri melalui peluang yang wujud daripada teknologi baharu muncul seperti 5G, internet benda (IoT) dan kecerdasan buatan (AI),” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 September 2019 @ 6:58 AM