TREND perbelanjaan tanpa keluar rumah perlu dikawal bagi mengelak melakukan pembelian tidak berfaedah.
Nabil Basaruddin
nabil.basaruddin@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) berharap kerajaan dapat mempertimbangkan pendidikan kewangan sebagai subjek mandatori di peringkat sekolah dan institusi pengajian tinggi.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Azaddin Ngah Tasir berkata, sempena pembentangan Belanjawan 2020, pihaknya meletakkan harapan tinggi agar kerajaan dapat melihat kepentingan memulakan pendidikan kewangan di peringkat lebih awal.

“Perkara itu dilihat sebagai langkah penting bagi mengelak lebih ramai, khususnya golongan muda terdedah kepada masalah kewangan pada masa depan.

“Ilmu pengurusan kewangan kini menjadi satu keperluan berikutan masyarakat sentiasa terdedah dengan masalah hal ehwal kewangan,” katanya.

Menurutnya, trend perbelanjaan juga dilihat terus berubah di mana pengguna kini masih boleh berbelanja walaupun tanpa perlu melangkah keluar dari rumah.

“Dunia semakin berkembang dan trend pengguna juga semakin berubah. Sebagai contoh, empat tahun lalu kita hanya berbelanja apabila beada di luar rumah.

“Namun, berbeza dengan masa kini yang mana duit boleh dihabiskan meskipun berada di dalam rumah. Jadi, wujud keperluan menguruskan kewangan serta mengawal diri daripada melakukan perbelanjaan tidak berfaedah,” katanya selepas pelancaran Inisiatif DuitSmart Hong Leong Bank (HLB) di sini, baru-baru ini.

Hadir sama, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif HLB, Domenic Fuda dan Naib Canselor Universiti Malaya, Datuk Dr Abdul Rahim Hashim.

Sementara itu, menurutnya perancangan persaraan yang dimulakan pada peringkat awal alam pekerjaan mampu memberi jaminan kepada individu menikmati kehidupan lebih baik selepas bersara.

Perkara berkenaan dianggap sebagai langkah penting kerana untuk mempunyai simpanan yang mencukupi, ia perlu mengambil masa.

Beliau berkata, meskipun simpanan untuk persaraan hanya pada jumlah yang kecil, namun dari tahun ke tahun ia berpotensi meningkat khususnya dengan kesan kadar faedah kompaun.

“Jadi, kami mencadangkan supaya golongan muda yang baru bekerja untuk mula menyimpan terutama untuk hari persaraan mereka bagi menjamin kehidupan yang stabil.

“Apa yang penting untuk dilakukan adalah memiliki ilmu pengurusan kewangan yang betul seperti cara menabung dan apa yang boleh dilakukan berdasarkan kadar perbelanjaan.

“Malah, menurut kajian Bank Negara Malaysia tahun lalu, hanya 57 peratus rakyat negara ini yang memahami pentingnya kewangan yang stabil,” katanya.

Azaddin berkata, program pengurusan hutang agensi itu mencatatkan peningkatan dari segi minat orang ramai untuk mengetahui secara mendalam kaedah yang perlu dilakukan untuk mendapat skor kredit yang baik.

“AKPK menerima kira-kira 10,000 hingga 15,000 individu dari seluruh negara yang datang untuk mendapatkan khidmat nasihat pada setiap bulan.

“Daripada jumlah itu, hanya 3,000 hingga 4,000 individu yang menyertai program bersama kami.

“Ini satu perkara yang memberangsangkan kerana lebih ramai mula tampil untuk meminta bantuan AKPK kerana kami akan membantu khususnya mereka yang terdedah kepada status muflis,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Belanjawan 2020
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 September 2019 @ 6:45 AM