STEVEN memberi penerangan pada Majlis Pelancaran Pendingin Hawa New Wind-Free Produk Jenama Samsung di KL Eco City, Bangsar.
Sri Ayu Kartika Amri
kartika@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: Samsung Electronics Malaysia (Samsung), memperkenalkan produk penyaman udara yang menampilkan teknologi penyejukan Wind-Free (bebas angin) terbaharu di pasaran.

Penyaman udara model AR9500M Samsung ini dihasilkan bukan saja menggunakan inovatif terkini, malah mampu menjimatkan penggunaan tenaga sehingga 72 peratus berbanding model biasa.

Pengurus Perkakasan Digital (perniagaan penyejukan) Samsung, Steven Cheong berkata, AR9500M adalah penyelesaian terbaik untuk mereka yang tercari-cari penyaman udara yang lebih berkesan.

Katanya, teknologi Wind-Free dibangunkan bagi memberi ruang rasa sejuk dan nyaman yang menyeluruh.

“AR9500M didatangkan dengan pemampat 8-tiang inverter digital pertama di dunia yang hanya menggunakan 32 peratus tenaga berbanding model penyaman udara konvensional.

“Teknologi penyejukan Wind-Free memberi ciri sejuk 43 peratus lebih pantas dan mempunyai sistem aliran udara yang pelbagai serta tidak mengeringkan kulit.

“Penyaman udara baharu ini juga mempunyai Kawalan Pintar WiFi dan sistemnya boleh dikawal melalui aplikasi pintar Samsung menggunakan telefon atau jam pintar,” katanya di taklimat media, di sini.

Sementara itu, Samsung turut menganjurkan kempen Revolusi Penyejukan sehingga 31 Disember 2019 di mana pembeli penyaman udara Samsung Wind-Free, AR9500M dapat menikmati jaminan dua tahun dan 10 tahun bagi perlindungan kompresor.

Harga jualan bagi penyaman udara baharu ini ditawarkan antara RM2,899 dan RM3,999.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 September 2019 @ 6:35 AM