Alzahrin Alias
bisnes@hmetro.com.my


EKSPORT Malaysia bagi Julai berkembang sebanyak 1.7 peratus kepada RM87.96 bilion berbanding setahun lalu, sekali gus mengatasi unjuran kebanyakan penganalisis.

Bloomberg mengunjurkan eksport Malaysia pada bulan terbabit mencatatkan penurunan tahunan 2.5 peratus.

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) berkata, angka yang dicatatkan itu adalah nilai eksport tertinggi bagi Julai.

“Pertumbuhan eksport lebih tinggi khususnya ke Taiwan, Amerika Syarikat (AS), China dan Singapura,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Miti berkata, import pada bulan dikaji bagaimanapun menguncup sebanyak 5.9 peratus kepada RM73.69 bilion, namun masih mengatasi unjuran penguncupan sebanyak tujuh peratus.

Ia membolehkan lebihan dagangan meningkat 75.6 peratus kepada RM14.27 bilion dan bulan ke-261 berturut-turut lebihan bekalan sejak November 1997.

Jumlah perdagangan adalah RM161.65 bilion, penurunan sebanyak 1.9 peratus.

Mengikut asas bulan ke bulan, jumlah perdagangan, eksport dan import masing-masing mencatat pertumbuhan dua angka sebanyak 14 peratus, 15.5 peratus dan 12.3 peratus, manakala lebihan dagangan meningkat sebanyak 35.8 peratus.

“Pada Julai 2019, perdagangan dengan China yang mewakili 17.6 peratus daripada jumlah perdagangan Malaysia atau RM28.5 bilion, meningkat sedikit sebanyak 0.2 peratus tahun ke tahun.

“Eksport bernilai RM13.34 bilion, berkembang sebanyak 3.8 peratus disebabkan pertumbuhan eksport barangan perkilangan logam, produk petroleum dan LNG. Import dari China pula merosot sebanyak 2.8 peratus kepada RM15.16 bilion,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 September 2019 @ 10:18 AM