MUKESH pada sidang media, semalam. Turut hadir Dr Ameer (kiri).
Nabil Basaruddin
nabil.basaruddin@hmetro.com.my


Zurich Takaful Malaysia Bhd (Zurich Takaful) menerusi kerjasama dengan Mydin Mohamed Holdings Bhd (Mydin) merancang untuk membuka 30 kaunter di sebahagian cawangan pasar raya itu di seluruh negara pada tahun depan.

Ketua Pegawai Eksekutif Zurich Takaful, Mukesh Dhawan berkata, ia adalah sebagai inisiatif untuk meningkatkan tahap kesedaran mengenai keperluan langganan produk takaful.

Beliau berkata, dengan kekuatan pasaran yang dimiliki Mydin sebagai pengendali pasar raya besar, Zurich Takaful berpeluang untuk memanfaatkan peluang pasaran takaful yang masih luas di negara ini.

“Rakyat Malaysia sering menjadikan Mydin sebagai destinasi pilihan untuk beli-belah. Jadi, kami berharap dengan pembukaan kaunter seperti ini, takaful juga akan termasuk dalam senarai barang yang dicari.

“Malah dengan hanya 50 peratus individu yang memiliki pelan perlindungan takaful, usaha sama ini turut menjadi antara saluran tepat untuk meluaskan potensi serta peluang yang ada untuk takaful,” katanya pada sesi taklimat media mengenai usaha sama Zurich Takaful dan Mydin di sini, semalam.

Sesi taklimat itu turut dihadiri oleh Pengarah Urusan Mydin, Datuk Wira Ameer Ali Mydin.

Mengulas lanjut mengenai kerjasama dua pihak itu, Mukesh berkata, usaha sama strategik itu membabitkan perjanjian bersama untuk tempoh 10 tahun yang bermula pada Mei lalu.

Menurutnya, sebagai permulaan, Zurich Takaful membuka tujuh kaunter di Mydin Subang Jaya, Mydin Senawang, Mydin MITC Melaka dan Mydin Mydin Aman Sentral.

“Usaha untuk meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan dan keperluan memiliki perlindungan takaful adalah tanggungjawab kami sebagai peserta industri.

“Pelanggan Mydin boleh terus berkunjung ke kaunter kami di Mydin untuk mendapatkan produk takaful mengikut kemampuan serta keperluan mereka,” katanya.

Sementara itu, Ameer berkata, pengendali pasar raya itu juga bercadang untuk mempromosikan produk Zurich Takaful kepada 400,000 pemegang kad kesetiaan Mydin dikenali sebagai Kad Meriah di semua 74 cawangannya di seluruh negara.

Katanya, Mydin dan Zurich Takaful pada masa sama akan melaksanakan kaedah pemasaran bersama bagi meningkatkan kesedaran mengenai pemilikan produk takaful.

“Sasaran kami adalah untuk golongan berpendapatan sederhana dan rendah bagi memastikan rakyat dilindungi takaful,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 September 2019 @ 10:07 AM