KORNREICH (kiri) bersama Zainal (tengah) melancarkan Cabaran AEIOU Musim kelima di Putrajaya.
Nurhayati Abllah
bisnes@hmetro.com.my


ALLIANCE Bank Malaysia Bhd (Alliance Bank) meneruskan komitmennya meningkatkan tahap pendidikan kewangan dalam kalangan generasi muda menerusi penganjuran Cabaran AEIOU.

Cabaran AEIOU yang memasuki musim kelima adalah inisiatif Alliance Bank memupuk budaya menabung dan berbelanja secara bijak dalam kalangan murid sekolah.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Alliance Bank, Joel Kornreich berkata, tahun ini bank memperluaskan cabaran berkenaan ke 420 sekolah rendah berbanding 50 sekolah sebelum ini.

“Program kali ini diperluaskan ke lebih banyak sekolah dan memperkenalkan cabaran permainan digital baharu.

“Ia adalah pendekatan terbaharu dalam usaha mendidik kanak-kanak mengenai pengurusan kewangan dan perbelanjaan di peringkat awal,” katanya pada pelancaran Cabaran AEIOU Alliance Bank Musim Kelima
di sini.

Pelancaran disempurnakan Pengarah Bahagian Sukan Kokurikulum dan Kesenian Kementerian Pendidikan, Zainal Abas.

Kornreich berkata, pihaknya turut memperluaskan latihan kepada guru bagi mendedahkan mereka mengenai topik pengurusan kewangan.

Selain cabaran permainan digital, peserta program boleh menyertai program AEIOU dengan menghantar hasil lukisan buku komik yang bertemakan tabiat kewangan secara berhemah.

Tarikh tutup bagi ‘Cabaran Komik’ dan ‘Cabaran Permainan’ masing-masing pada 27 Oktober dan 20 Oktober 2019.

Beliau berkata, pendekatan itu secara langsung dapat menyelami sejauh mana pengetahuan pelajar di dalam aspek menabung.

“Kami menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM20,000 kepada murid yang berjaya dalam kedua-dua cabaran berkenaan (komik dan permainan),” katanya.

Bagi Cabaran AEIOU musim kelima, Alliance Bank akan mengadakan jerayawara (roadshow) sesi literasi kewangan bagi murid berusia antara sembilan dan 12 tahun.

Selain itu, sekolah yang mencatatkan jumlah penyertaan paling banyak akan menerima hadiah untuk dana pembangunan sekolah, manakala guru yang komited dalam usaha meningkatkan kadar literasi kewangan turut diberi ganjaran.

Alliance Bank menyasarkan untuk meningkatkan penyertaan sebanyak 30,000 penyertaan, tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 September 2019 @ 7:27 AM