AIRASIA A330neo
Nabil Basaruddin
nabil.basaruddin@hmetro.com.my


AIRASIA X Berhad, syarikat penerbangan jarak jauh Kumpulan AirAsia memuktamadkan tempahan tambahan sebanyak 12 pesawat A330neo dan 30 pesawat A321XLR baharu dengan Airbus yang dianggarkan melebihi AS$5 bilion (RM21 bilion).

Penghantaran pertama pesawat A330neo kepada AirAsia X dijadualkan pada pertengahan tahun depan manakala untuk A321XLR pula pada 2023.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes berkata, tempahan pesawat terbabit mengukuhkan kesesuaian pesawat A330neo sebagai pilihan terbaik untuk memantapkan rangkaian pesawat badan besar syarikat itu pada masa akan datang.

Beliau berkata, sebagai tambahan A321XLR pula menawarkan kemampuan jarak penerbangan paling jauh bagi mana-mana pesawat lorong tunggal yang akan membolehkan Kumpulan untuk memperkenalkan perkhidmatan ke destinasi baharu.

“Apabila digabungkan bersama, kedua-dua pesawat ini adalah gandingan terbaik bagi operasi penerbangan jarak jauh kos rendah yang akan memberi kelebihan kepada AirAsia.

“Kami juga berpeluang untuk mengukuhkan kedudukan selaku peneraju pasaran dalam sektor yang sedang berkembang pesat ini. Antara pasaran berpotensi yang kita lihat mungkin seperti terbang ke Eropah Timur, Perancis seperti Nice yang terkenal dengan kawasan pantainya yang indah.

“Kami juga akan tampil dengan model destinasi penerbangan yang lebih berinovatif dengan adanya pesawat baharu ini pada masa akan datang,” katanya pada majlis menandatangani perjanjian pembelian pesawat antara AirAsia X dan Airbus di Kuala Lumpur, hari ini.

Kontrak pembelian itu ditandatangani Pengerusi AirAsia X, Tan Sri Rafidah Aziz dan Ketua Pegawai Eksekutif Airbus, Guillaume Faury yang disaksikan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Majlis turut dihadiri Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook.

Tony berkata, kontrak baharu itu menyaksikan peningkatan bilangan pesawat A330neo yang ditempah oleh AirAsia X kepada 78 pesawat menjadikannya sebagai pelanggan tunggal terbesar Airbus bagi pesawat jenis ini.

Menurutnya, tempahan untuk pesawat A321XLR pula menyaksikan langkah Kumpulan AirAsia dalam mengukuhkan kedudukan selaku pelanggan terbesar di dunia bagi pembelian pesawat dari rangkaian A320 dengan tempahan terkini berjumlah 622 pesawat.

“Tempahan yang dimuktamad pada majlis ini sekali gus menjadikan tempahan pesawat keseluruhan oleh Kumpulan AirAsia berjumlah 730 buah,” katanya.

Pesawat jenis A321XLR mampu mencapai jarak penerbangan sehingga 4,700 batu nautika dengan penggunaan bahan api 30 peratus lebih rendah bagi setiap tempat duduk berbanding generasi pesawat pesaing yang lain.

Untuk A330neo pula, ia menggunakan enjin Rolls-Royce Trent 7000 yang turut memberikan penjimatan bahan api sehingga 25 peratus.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Ogos 2019 @ 6:55 PM