Jamaludin. FOTO ZULFADHLI ZULKIFLI
Nabil Basaruddin
nabil@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Rundingan untuk menubuhkan syarikat telekomunikasi terbesar di rantau Asia Tenggara dan Asia Selatan antara Axiata Group Berhad (Axiata) dan Telenor ASA (Telenor) terus berjalan seperti biasa sebelum ia dimuktamadkan.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Axiata, Tan Sri Jamaludin Ibrahim berkata, setakat ini perbincangan mengenai usaha untuk ke arah penggabungan itu masih diadakan seperti biasa.

“Buat masa ini, saya tidak boleh kongsikan terlalu banyak. Khamis ini kita akan ada sidang media mengenai prestasi separuh pertama dan suku kedua Kumpulan Axiata, jadi anda boleh tanya ketika itu.

“Apa yang pasti, rundingan mengenai hal ini masih berjalan seperti biasa,” katanya ketika ditemui selepas majlis pelancaran Kempen Merdeka Celcom dan Axiata di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Celcom Axiata Berhad (Celcom), Idham Nawawi.

Axiata dan Telenor pada Mei lalu mengumumkan bahawa mereka sedang berbincang mengenai potensi penggabungan aset telekomunikasi dan infrastruktur mereka di Asia.

Entiti gabungan itu dijangka akan menjadi pengendali terbesar di rantau Asia dengan 300 juta pelanggan mudah alih di sembilan negara.

Malah, penggabungan terbabit juga dianggap sebagai sama rata meskipun nisbah pemilikan yang dirancang bagi syarikat yang digabungkan (MergedCo) adalah 56.5 peratus milik Telenor dan 43.5 peratus oleh Axiata.

Selain itu, MalaysiaCo, hasil daripada penggabungan Celcom Axiata dan Telenor Digi, akan menjadi kira-kira 67 peratus dimiliki oleh MergedCo.

Penggabungan mega itu dijangka menghasilkan pendapatan sebanyak RM50 bilion dan pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) sehingga RM20 bilion.

Sementara itu, pada majlis sama, Kumpulan Axiata dan Celcom melancarkan filem pendek bertajuk Getaran Purnama bersempena dengan sambutan Hari Kemerdekaan ke-62.

Majlis itu turut menggunakan teknologi hologram kreatif bagi membawa semula Tony Fonseka yang menjadi pengarah koir generasi baru untuk mempersembahkan semula lagu ‘Negaraku’, sebagaimana yang dilakukan oleh Koir Merdeka pada 1957.

Jamaludin berkata, Malaysia melalui perjalanan jauh dalam menjadi negara yang kaya dengan bakat, kapasti dan industri serta setanding dengan negara dunia yang lain.

“Malah, Axiata sebagai syarikat yang masih muda terus berkembang sebagai syarikat Malaysia yang ikonik dan berbangga mengibarkan bendera negara merentasi Asean dan Asia Selatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Ogos 2019 @ 7:19 AM