RINA (tengah) menyaksikan Najmi (duduk, kiri) dan Mukesh menandatangani Memorandum Kerjasama Strategik di antara PMB Investment Berhad dan Zurich Takaful Malaysia Berhad. FOTO Mohd Safwan Mansor
hmdigital

KUALA LUMPUR: PMB Investment Berhad (PMB Investment), syarikat pengurusan dana Islam di bawah Kumpulan Pelaburan Mara Berhad (Pelaburan Mara) mengumumkan kerjasama dengan Zurich Takaful Malaysia Bhd (Zurich Takaful) bagi melaksanakan kerjasama strategik dua hala antara kedua-dua pihak.

Melalui kerjasama itu, Perunding Unit Amanah (PUA) PMB Investment menawarkan produk berkaitan takaful Zurich kepada pelabur manakala ejen Zurich Takaful juga boleh menawarkan unit amanah PMB Investment kepada pelanggan mereka melalui jualan silang.

Ketua Pegawai Eksekutif PMB Investment, Najmi Mohamed berkata, kerjasama itu akan memberi impak kepada syarikat dan industri kewangan syariah di mana ia mampu mempercepatkan pertumbuhan permintaan produk berasaskan syariah.

“Kami perlu menyediakan PUA yang berada di bawah pengurusan syarikat dengan kepelbagaian penawaran portfolio perkhidmatan kewangan syariah kepada pelabur.

“Kerjasama ini diharap dapat memberi servis yang lebih luas kepada ramai pihak dan dapat memenuhi keperluan berbeza,” katanya pada majlis menandatangani perjanjian antara PMB Investment dan Zurich Takaful di sini, semalam.

Perjanjian terbabit ditandatangani Najmi yang mewakili PMB Investment dan Ketua Pegawai Eksekutif Zurich Takaful, Mukesh Dhawan.

Hadir sama, Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd Harun, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pelaburan Mara, Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin dan Ketua Zurich Malaysia, Stephen Clark.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Ogos 2019 @ 6:19 AM