GRAB bercadang teroka pasaran di Vietnam. FOTO Rohanis Shukri
Reuters

SINGAPURA: Selepas beberapa minggu melancarkan pelan AS$2 bilion (RM8.40 bilion) di Indonesia, firma perkhidmatan e-hailing yang berpangkalan di Singapura, Grab bersedia untuk melabur beberapa ratus juta dolar di Vietnam, yang mana ia melihat pasaran itu sebagai pasaran pertumbuhan utama akan datangnya.

Pelaburan yang dicadangkan itu adalah contoh terbaru jenama terkemuka serantau itu mempertingkatkan komitmennya ke Vietnam, salah satu ekonomi pesat berkembang di Asia.

Ia juga menunjukkan keghairahan Grab untuk melabur hasil dana berbilion ringgit daripada pelabur.

“Kami sangat teruja dengan Vietnam. Kami melihat ciri-ciri yang sama dengan Indonesia,” kata Presiden Grab, Ming Maa kepada Reuters dalam temu bual.

Grab dan pesaingnya yang berpangkalan di Indonesia, Go-Jek sedang berkembang daripada pengendali aplikasi ride-hailing untuk menjadi kedai sehenti bagi perkhidmatan yang berbeza-beza seperti pembayaran, penghantaran makanan, logistik dan tempahan hotel di Asia Tenggara.

Grab, dengan aplikasinya yang digunakan oleh lebih 160 juta peranti mudah alih merentas lapan negara berkata, pelaburannya di Indonesia bertujuan untuk membina rangkaian pengangkutan generasi akan datang dan mengubah bagaimana perkhidmatan kritikal seperti penjagaan kesihatan disampaikan.

Seperti Indonesia, ramai pengguna kelas menengah dan muda di Vietnam menggunakan aplikasi dan laman web untuk mengakses perkhidmatan, kata Maa.

“Saya jangka kami melabur lebih beberapa ratus juta dolar untuk mengembangkan perniagaan Vietnam kami,” katanya tanpa memberikan butiran khusus mengenai pelaburan itu.

Vietnam menduduki tangga ketiga atau keempat dalam kalangan pasaran utama Grab, kata Maa yang menyertai syarikat itu tiga tahun lalu daripada pelabur utamanya, Softbank Group Corp dan berkhidmat lama di bank pelaburan, Goldman Sachs.

Grab menjalin kerjasama dengan firma Fintech Vietnam, Moca pada 2018 untuk melancarkan dompet digital.

Grab membentuk usaha sama dengan Credit Saison, syarikat kad kredit Jepun, tahun lalu untuk menawarkan pinjaman dan analisis kredit kepada pengguna dan usahawan mikro di seluruh Asia Tenggara.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Ogos 2019 @ 6:35 AM