NORLI (dua dari kanan) mendengar penerangan daripada Ketua Pegawai Eksekutif Tishas Food Manufacturing Sdn Bhd, Shamsul Shah Sulaiman (kiri). FOTO Faiz Anuar
Sofyan Rizal Ishak
sofyan.rizal@hmetro.com.my


SHAH ALAM: Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga Nasional (Tekun Nasional) menubuhkan Bahagian Hubungan Antarabangsa dan Projek Khas, baru-baru ini sebagai usaha untuk membawa produk usahawan di bawahnya ke pasaran global sejajar dengan Dasar Keusahawanan Negara 2030 (DKN 2030).

Ketua Bahagian Hubungan Antarabangsa dan Projek Khasnya, Norli Alias berkata, bahagian yang ditubuhkan oleh pihak pengurusan tertinggi Tekun itu melengkapkan ekosistem keusahawanan Tekun Nasional yang membabitkan aspek pembiayaan, latihan dan bimbingan.

Terkini, agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan (MED) ini mengorak langkah proaktif dengan menyediakan platform serta akses bagi mempromosi dan memasarkan produk usahawan Tekun ke luar negara.

Menurutnya, sebelum ini Tekun Nasional juga menubuhkan bahagian pembangunan usahawan dalam usaha membimbing dan memantapkan daya saing dalam kalangan usahawannya.

“Kami menawarkan pembiayaan selama 21 tahun kepada usahawan dan kami kini bersedia memperkasakan lagi perkhidmatan melalui kewujudan ekosistem yang lebih berkesan bagi membantu usahawan mengukuhkan perniagaan dan promosi produk mereka melalui perluasan pasaran di luar negara,” katanya pada media ketika program Local Marketer Conference di sini.

Beliau berkata, perancangan pertama bakal dilaksanakan melalui bahagian terbaharu Tekun Nasional itu adalah membawa 18 syarikat di bawah tajaan sendiri menyertai Persidangan Perdagangan Antarabangsa dianjurkan Dewan Perniagaan Malaysia-Myanmar (MMBC) dengan kerjasama Kedutaan Malaysia di Myanmar.

Menurutnya, acara bakal berlangsung pada 28 hingga 31 Ogos di Myanmar itu memberi peluang kepada usahawan Tekun Nasional meluaskan pasaran di negara terbabit dengan sokongan MED.

“Untuk acara ini dan akan datang, kami memilih barisan produk akhir sedia dieksport daripada usahawan Tekun Nasional yang matang dan berjaya terutama dalam kalangan mereka yang berjaya mendapatkan dan membayar balik pembiayaan daripada kami untuk beberapa kali,” katanya.

Norli berkata, selepas ini Tekun merancang membawa lebih ramai usahawan Tekun Nasional menerokai pasaran luar negara di beberapa negara seperti China, Dubai dan Jepun sepanjang tahun ini dan hingga tahun depan.

“Kami mendapat banyak jemputan daripada pelbagai pihak untuk menyertai misi perdagangan ke luar negara.

“Bagaimanapun, secara asasnya kami mengikuti kebanyakan misi dianjurkan agensi kerajaan seperti Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade),” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Ogos 2019 @ 7:16 AM