OTHMAN (dua dari kiri) bersama Juan (dua dari kanan) bergambar dengan artis ketika Pelancaran Kopi Starbucks di unionSpace Bangsar.
Sri Ayu Kartika Amri
kartika@hmetro.com.my


NESTLE (Malaysia) Berhad, melancarkan Starbucks At Home rangkaian produk kopi premium pertama di pasaran Malaysia.

Ketua Pasaran Nestle Malaysia, Singapura dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Juan Aranols berkata, rangkaian kopi Starbucks At Home didatangkan dengan 11 jenis produk termasuk biji kopi, kopi panggang, kisar dan kapsul Starbucks.

Katanya, kerjasama Nestle dengan Starbucks bermula Ogos 2018 di peringkat global dan bagi pasaran Malaysia dan Singapura, ia baharu diperkenalkan serta pertama di Asia Tenggara.

“Kami yakin apabila Nestle dan Starbucks menggandingkan tiga jenama ikonik dunia iaitu Nescafe, Nespreso dan Starbucks, ia akan membuka peluang menarik dalam pasaran kopi di negara ini.

“Selepas ini, kami akan membawa Starbucks At Home ke pasaran negara lain seluruh Asia Tenggara,” katanya kepada media selepas melancarkan Starbucks At Home di Kuala Lumpur, hari ini.

Hadir sama, Pegawai Eksekutif Perniagaan Unit Minuman Nestle, Othman Chraibi.

Aranols berkata, Nestle kini berada di kedudukan lebih kukuh dalam menawarkan pilihan kopi terbaik untuk terus memenuhi permintaan di Malaysia dan Singapura.

Menurutnya, Nestle optimis pengenalan Starbucks At Home dapat meningkatkan jualan Nestle dan Starbucks.

“Kini pengguna boleh menghasilkan sendiri kopi Starbucks kegemaran mereka di rumah dengan menggunakan teknologi kopi dan sistem hak milik Nescafe Dolce Gusto,” katanya.

Produk Starbucks At Home boleh didapati di Lazada (Malaysia) dan PairPriceOn (Singapura) serta laman web Nescafe Dolce Gusto bermula 26 Ogos 2019 dan secara berperingkat di platform e-dagang dan peniaga runcit terkemuka.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Ogos 2019 @ 6:23 PM