Datuk Syed Hussian Aljunid. FOTO Halimaton Saadiah SUlaiman
hmdigital

KUALA LUMPUR: Media Prima Berhad (Media Prima), kumpulan media bersepadu sepenuhnya di Malaysia merekodkan perolehan berjumlah RM535.9 juta bagi separuh pertama untuk tempoh kewangan berakhir 30 Jun 2019 (1HFY19).

Dalam cabaran ekonomi dan operasi semasa yang memberi kesan kepada kumpulan secara keseluruhannya, kumpulan merekodkan penyusutan perolehan pengiklanan tradisional bagi enam bulan sebanyak 19 peratus berbanding tempoh sebelumnya.

Pengerusi Kumpulan Media Prima, Datuk Syed Hussian Aljunid berkata, bagaimanapun penurunan itu sebahagiannya dikurangkan oleh pertumbuhan dalam perolehan segmen perdagangan kumpulan yang diterajui segmen beli-belah rumah.

“CJ WOW SHOP kekal melonjak dengan perolehan meningkat sebanyak 19 peratus kepada RM114.3 juta bagi tempoh 1HFY19 berbanding RM96.0 juta bagi tempoh 1HFY18.

“Meskipun perolehan digital bagi tempoh 1HFY19 menurun secara marginal sebanyak tiga peratus berbanding tempoh sebelumnya, Media Prima kekal sebagai pemain penting dalam alam digital susulan pemilikan jenama baru digital dan pendemokrasian kandungan dalam platform digital,” katanya.

Menurutnya, kumpulan kekal berada dalam kedudukan ketiga di Malaysia selepas Google dan Facebook menerusi terma pencapaian audien digital dan berjaya mengekalkan kedudukan sebagai pemimpin bagi kandungan dalam peralatan mudah alih di Malaysia dengan pelawat unik berjumlah 13.5 juta sebulan.

“Keputusan kumpulan bagi separuh pertama tahun ini mencerminkan cabaran yang memberi kesan kepada syarikat media di seluruh dunia.

“Di tengah-tengah keadaan ekonomi tidak memberangsangkan yang memberi impak kepada perbelanjaan pengiklanan khususnya bagi perniagaan tradisional, kumpulan berjaya memulihkan keputusan suku kedua berbanding suku sebelum ini (1QFY19).

“Ia didorong oleh hasil daripada usaha-usaha yang telah dilaksanakan dan sekiranya tiada perkara yang tidak diduga berlaku, kumpulan berharap dapat mengekalkan momentum ini bagi suku seterusnya dalam tahun kewangan ini,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan, Datuk Kamal Khalid berkata, Kumpulan terus memberi fokus kepada pengurusan kos dan sejak tempoh enam bulan lalu berjaya mengurangkan perbelanjaan operasi sebanyak 11 peratus berbanding tempoh sebelumnya.

“Kami akan terus mengenal pasti segmen-segmen yang memerlukan penambahbaikan dalam usaha untuk menjadi organisasi media yang lengkap bagi menerokai peluang perniagaan baharu sambil berhadapan cabaran dalam era yang kini didominasi digital,” katanya.

Jenama dalam talian The New Straits Times Press (NSTP) iaitu MyMetro, BH Online dan NST Online terus berada dalam kedudukan teratas dalam kalangan laman berita utama di Malaysia dengan masing-masing berjumlah 10.2 juta, 7.4 juta dan 3.6 juta purata pengguna sebulan ketika ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Ogos 2019 @ 6:45 AM