PERUBAHAN itu juga adalah selaras dengan definisi harga rumah mampu milik dalam Dasar Perumahan Mampu Milik Negara. GAMBAR hiasan
Nabil Basaruddin
nabil.basaruddin@hmetro.com.my


BANK Negara Malaysia (BNM) melaksanakan dua penambahbaikan kepada kriteria dan ciri kelayakan Dana Rumah Mampu Milik berjumlah RM1 bilion yang dilancarkan pada Januari tahun ini.

Penambahbaikan berkenaan adalah usaha BNM dalam membantu golongan B40 untuk memiliki rumah pertama berkuatkuasa pada 1 September 2019.

Gabenor BNM, Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus berkata, usaha yang pertama adalah meningkatkan kelayakan pemohon warganegara Malaysia dengan pendapatan maksimum bulanan isi rumah dari RM2,300 kepada RM4,360.

Beliau berkata, langkah kedua pula adalah meningkatkan had harga maksimum rumah layak dibiayai dari RM150,000 kepada RM300,000.

Menurutnya, perubahan itu juga adalah selaras dengan definisi harga rumah mampu milik dalam Dasar Perumahan Mampu Milik Negara.

"Peruntukan dana khas sebanyak RM1 bilion yang dilancarkan pada awal tahun ini akan membantu kumpulan berpendapatan rendah membiaya pembelian rumah pertama.

"Sebagai langkah tambahan untuk membantu golongan sasar ini untuk memiliki rumah pertama mereka, bank pusat mengambil langkah penambahbaikan kepada kriteria dana ini," katanya pada majlis pelancaran MyKNP di Kuala Lumpur, hari ini.

Selain dua kriteria kelayakan itu, syarat lain bagi permohonan dana itu kekal sama seperti sebelum ini seperti tiada rekod pembiayaan terjejas untuk tempoh 12 bulan lalu, bekerja makan gaji atau bekerja sendiri dan peminjam tunggal atau bersama.

Antara bank yang terbabit dengan dana khas itu adalah AmBank, Bank Simpanan Nasional, CIMB Bank, Maybank dan RHB Bank dengan kadar pembiayaan maksimum sebanyak 3.5 peratus setahun dan tempoh pembiayaan sehingga 40 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Ogos 2019 @ 7:23 PM