NOR Izzati (tengah) pada pembukaan Costa Coffee di Sunway Pyramid Mall, Bandar Sunway.
Suffian A Bakar
bisnes@hmetro.com.my


PETALING JAYA: Gapurna Permai Sdn Bhd, pemegang francais induk kedai kopi jenama Costa Coffee di Malaysia melabur sekitar RM6 juta setakat ini bagi membuka enam cawangan Costa Coffee di sekitar Lembah Klang.

Pengarahnya, Nor Izzati Mohamad Salim berkata, pihaknya bercadang meningkatkan pelaburan menjelang 2020 dengan membuka lebih banyak cawangan Costa Coffee dalam tempoh terdekat.

“Kami menerima maklum balas positif daripada pelanggan sejak pembukaan Costa Coffee dalam tempoh dua minggu lalu dan yakin jenama kopi bertaraf dunia ini akan diterima baik di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian cawangan Costa Coffee di Sun way Pyramid, di sini.

Enam cawangan Costa Coffee itu terletak di lokasi terkenal di Bangsar Shopping Centre (BSC), NU Sentral Mall, Sunway Pyramid, Menara Allianz, Q Sentral dan MCMC Cyberjaya.

Nor Izzati berkata, Costa Coffee dibawa masuk ke negara ini bagi berkongsi pengalaman menikmati kopi kegemaran berasal dari London itu kepada penggemar kopi tempatan.

Tahun lalu Gapurna Permai memeterai perjanjian terma induk dengan Costa Coffee PLC dari United Kingdom (UK) bagi melantik syarikat itu sebagai francaisi induk rangkaian kopi berkenaan di Malaysia.

Di bawah perjanjian francais itu, Gapurna Permai berhasrat membuka 100 cawangan Costa Coffee di seluruh negara dalam tempoh lima tahun akan datang.

Costa Coffee adalah kedai kopi pilihan di UK memenangi ‘Rangkaian Kedai Kopi Berjenama Terbaik di UK dan Ireland’ oleh Allegra Strategies selama lapan tahun berturut-turut dari 2010 hingga 2017.

Sempena pembukaan enam cawangan Costa Coffee itu, 100 cawan kopi percuma sehari disediakan di Sunway Pyramid pada 18-20 Ogos dan di Q Sentral pada 27 hingga29 Ogos ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Ogos 2019 @ 6:49 AM