SEKTOR e-dagang mencatatkan pertumbuhan berterusan dengan perolehan sebanyak RM85.8 bilion pada 2017. FOTO Aziah Azmee
Sri Ayu Kartika Amri
kartika@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) optimis pertumbuhan sektor e-dagang akan meningkat 20 peratus menjelang 2020 berbanding purata pertumbuhan tahunan 12.5 peratus.

Pengarah e-Dagang MDEC, Song Hock Koon berkata, sasaran berkenaan dijangka dapat dicapai menerusi usaha kerajaan dalam membangunkan Pelan Tindakan Strategik e-Dagang Kebangsaan menerusi kerjasama dengan pemain industri tempatan.

Katanya, salah satu objektif MDEC adalah untuk menggalakkan pembabitan rakyat Malaysia dalam ekosistem digital kerana ia akan membantu mempercepatkan penggunaan e-dagang dalam keadaan mampan dan kos efektif.

“Sebelum kerajaan terbabit secara serius dalam sektor e-dagang, purata pertumbuhan tahunan adalah sekitar 10.8 peratus dan kami yakin jika semua pihak dalam industri ini memainkan peranan, kita dapat menggandakan nilai pertumbuhan sektor e-dagang negara.

“MDEC sentiasa membuka peluang untuk bekerjasama dan menyokong pergerakan industri serta mempercayai bahawa inisiatif yang dilaksanakan pada masa ini akan terus memberi inspirasi kepada usaha keusahawanan digital,” katanya ketika ditemui selepas pelancaran kempen 9.9 Super Shopping Day Shopee di sini, semalam.

Song berkata, MDEC melihat potensi yang besar dalam sektor e-dagang dan sentiasa berhubung dengan pemain industri untuk bertukar pandangan dan idea bagi memantapkan lagi sektor ini.

Beliau berkata, pihaknya berharap lebih banyak pemain e-dagang tempatan akan muncul sekali gus memanfaatkan perkembangan sektor ini.

Sektor e-dagang mencatatkan pertumbuhan berterusan dengan perolehan sebanyak RM85.8 bilion pada 2017 berbanding hanya RM37.7 bilion yang direkodkan pada 2010.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Ogos 2019 @ 7:19 AM