PROJEK SP Setia dikenali Baris Place yang dimajukan di Semenyih. FOTO Zaaba Zakaria
Sofyan Rizal Ishak
sofyan.rizal@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: SP Setia Bhd (SP Setia), pemaju hartanah terkemuka menyemak semula sasaran jualan keseluruhannya bagi tahun kewangan 2019 daripada RM5.65 bilion kepada RM4.55 bilion berikutan situasi ekonomi makro tidak menentu dan pasaran hartanah lemah yang berterusan.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Khor Chap Jen berkata, pasaran hartanah bagi separuh pertama tahun ini amat mencabar bagi pemain industri hartanah tempatan ditambah sentimen pengguna yang lebih suka mengambil sikap tunggu dan lihat sebelum melakukan sebarang pembelian hartanah.

“Berdasarkan situasi pasaran terkini, kami fikir sekarang adalah masa tepat untuk menyemak semula sasaran keseluruhan meskipun RM4.55 bilion itu juga adalah jumlah yang mencabar untuk dicapai.

“Bagaimanapun, kami yakin mampu mencapai jumlah itu berdasarkan kepada kepelbagaian bagi pelancaran projek yang dirancang dan lanjutan Kempen Pemilikan Rumah Kebangsaan (HOC),” katanya pada taklimat media bagi tinjauan kewangan suku kedua 2019 dan perkembangan terkini SP Setia di sini, semalam.

SP Setia mengumumkan bahawa Kumpulan itu berjaya mencatatkan pendapatan sebanyak RM2.20 bilion dan keuntungan sebelum cukai (PBT) sebanyak RM329.7 juta bagi separuh pertama 2019.

Beliau berkata, SP Setia mencatatkan jualan RM1.98 bilion bagi separuh pertama 2019 dengan projek tempatan menyumbang RM1.71 bilion atau mewakili 87 peratus daripada jualan keseluruhan manakala, projek antarabangsa menyumbang RM262.6 juta atau mewakili 13 peratus daripada jualan.

“Kebanyakan jualan bagi projek tempatan disumbang melalui wilayah Sentral dengan RM1.19 bilion manakala, wilayah utara dan selatan pula sebanyak RM522 juta.

“Untuk projek antarabangsa, UNO Melbourne di Australia dan Daintree di Singapura menyumbang jualan RM222 juta,” katanya.

Untuk separuh pertama 2019, SP Setia kekal kukuh dan fokus kepada produk yang tepat bertujuan memenuhi situasi pasaran dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM1.55 bilion bagi projek yang sudah dilancarkan.

Khor berkata, beberapa projek terutama hartanah di atas tanah mencatatkan prestasi membanggakan seperti pelancaran Avis 2 yang membabitkan kediaman teres dua tingkat di Setia Alamsari pada harga RM709,000 dan Reef of Tropic iaitu rumah teres dua tingkat di Setia Eco Glades (RM774,000) dengan kedua-dua projek itu mencatatkan tempahan lebih daripada 90 peratus ketika pelancarannya pada April lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Ogos 2019 @ 6:58 AM