KUMPULAN Public Bank mencatatkan keuntungan sebelum cukai RM3.55 bilion. FOTO Syarafiq Abd Samad
hmdigital

KUALA LUMPUR: Kumpulan Public Bank mencatatkan keuntungan sebelum cukai RM3.55 bilion bagi separuh tahun pertama 2019 berakhir 30 Jun lalu.

Keuntungan bersih milik pemegang saham pula dicatatkan berjumlah RM2.74 bilion, berbanding RM2.80 bilion dalam tempoh sama tahun lalu.

Pengasas, Pengerusi Emeritus, Pengarah dan Penasihat Public Bank Tan Sri Dr Teh Hong Piow berkata, bank domestik menghadapi pengurangan margin faedah bersih yang menjejaskan keuntungan bagi setengah tahun pertama.

Beliau berkata, ia disebabkan persekitaran ekonomi dan perbankan yang sederhana selain penurunan kadar dasar semalaman (OPR) pada Mei lalu.

“Bagaimanapun, kumpulan berupaya mengekalkan keuntungan stabil diteguhkan pertumbuhan pinjaman dan deposit yang baik, kualiti aset yang stabil dan pengurangan kos yang berhemat.

“Dalam menghadapi cabaran yang semakin meningkat berikutan pertumbuhan sektor perbankan domestik yang sederhana dan tekanan margin faedah yang berterusan, kumpulan merasakan pengekalan kecekapan kos dan kualiti aset yang kukuh adalah penting bagi perniagaan mapan jangka panjang.

“Dengan fokus yang strategik, kumpulan terus mengekalkan nisbah pinjaman pengurangan nilai yang stabil sebanyak 0.5 peratus dan nisbah kos kepada pendapatan yang cekap sebanyak 34.2 peratus, membawa kepada pulangan ekuiti bersih yang teguh sebanyak 13.6 peratus untuk setengah tahun pertama 2019,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Jumlah pinjaman kumpulan Public Bank meningkat dengan kadar tahunan sebanyak 4.0 peratus kepada RM323.7 bilion.

Pinjaman domestik yang meliputi 90 peratus daripada portfolio pinjaman kumpulan, berkembang pada kadar tahunan sebanyak 4.3 peratus, lebih tinggi daripada pertumbuhan pinjaman tahunan sistem perbankan sebanyak 2.7 peratus.

Pengembangan dalam portfolio pinjaman itu disebabkan pertumbuhan kukuh dalam perniagaan pembiayaan teras hartanah kediaman dan komersial.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Ogos 2019 @ 6:55 AM