KOK (dua dari kiri ) melawat tapak pameran pada pelancaran Dana Automasi dan Teknologi Hijau MREPC di One World Hotel, semalam. FOTO Rohanis Shukri
hmdigital

PETALING JAYA: Kerajaan melalui Majlis Promosi Eksport Getah Malaysia (MREPC) memperuntukkan sebanyak RM20 juta dana MREPC bagi teknologi hijau dan automasi.

Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah MREPC, Chik Chan Chee berkata, dana itu juga adalah untuk menggalakkan dan menyokong syarikat pengeluar produk getah yang mengadaptasi teknologi hijau dan automasi.

Katanya, menerusi dana ini syarikat yang layak akan diberi geran sehingga 50 peratus daripada kos projek (nilai projek maksimum RM1 juta bagi setiap syarikat).

“Dana ini merangkumi teknologi hijau dan automasi yang terdiri daripada tenaga biomas, solar, kitar semula dan tuaian.

“Sejak dana ini dibuka awal 2019, sebanyak 19 permohonan telah diterima yang mana majoriti 12 daripadanya membabitkan projek automasi dan tujuh projek teknologi hijau,” katanya kepada media selepas majlis pelancaran Dana MREPC bagi teknologi hijau dan automasi di sini, semalam.

Turut hadir, Menteri Industri Utama, Teresa Kok.

Dana MREPC terbuka untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terbabit dalam teknologi hijau dan automasi bagi mengurangkan peningkatan kos pengeluaran dan kos buruh.

Selain itu, Chik berkata, industri produk getah telah mencatatkan pertumbuhan pada kadar 10 peratus setiap tahun sejak sedekad lalu.

Setakat ini, terdapat 300 pengeluar produk getah, berbanding kurang daripada 50 pada tahun 1970-an.

Beliau berkata, rata-rata syarikat terbabit mengeluarkan lebih 1,000 jenis produk getah bagi kegunaan perubatan, perindustrian, komersial dan isi rumah.

Pada 2018, industri mencatatkan nilai eksport sebanyak RM23.7 bilion bagi produk getah, mewakili 2.4 peratus jumlah eksport Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Ogos 2019 @ 6:57 AM