ANTHONY (tengah) menyaksikan pertukaran perjanjian pajakan di antara Rosnan (kiri) dan Lee Kiat di Putrajaya, semalam. FOTO Mohamad Shahril Badri Saal
Hazwan Faisal Mohamad
bisnes@hmetro.com.my


PUTRAJAYA: Lembaga Pelabuhan Johor (JPA) dan Smart Crest Sdn Bhd memeterai perjanjian bagi membangunkan projek pulau bunker atau simpanan minyak di Tanjung Bin, Pontian bernilai RM2 bilion.

Projek yang akan dibangunkan di atas pulau tebus guna seluas 40 hektar berdekatan dengan Pelabuhan Tanjung Pelepas itu akan dilaksanakan dalam tiga fasa selama empat tahun.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, pulau terletak di lokasi strategik itu membolehkan Malaysia meraih manfaat daripada unjuran pertumbuhan industri minyak dan pulau bunker itu dibangunkan menjadi hab minyak yang strategik untuk aktiviti penyimpanan serta pemindahan.

Menurutnya, sebaik projek itu siap dibangunkan, ia akan menjadi antara terminal minyak bebas dan bersepadu sepenuhnya terbesar di dunia.

“Kemudahan ini selari dengan pelan Johor Petroleum Development Corporation untuk membangunkan selatan Johor sebagai destinasi terminal dan penyimpanan minyak yang penting.

“Dengan 61 tangki terletak di lima ruang tangki, ia akan mempunyai kapasiti penyimpanan 1.2 juta meter padu dan mampu mengendalikan pelbagai jenis produk.

“Selain ruang simpanan, kemudahan terminal ini akan dilengkapi dua jeti dengan tujuh dermaga. Saya difahamkan keseluruhan projek ini dianggarkan bernilai RM2 bilion yang akan dibiayai sepenuhnya sektor swasta,” katanya pada majlis menandatangani perjanjian pajakan atas pajakan antara JPA dan Smart Crest di sini, semalam.

Pada majlis itu, JPA diwakili Pengurus Besarnya, Razif Ahmad manakala Smart Crest diwakili Pengarah Urusannya, Cher Lee Kiat.

Hadir sama, Setiausaha Politik Menteri Kewangan, Tony Pua dan Pengerusi JPA, Rosnan Fathlal.

Lee Kiat berkata, fasa pertama pembangunan projek itu dijangka mengambil masa dua tahun untuk dibangunkan.

Menurutnya, ia membabitkan pembangunan bunker terlebih dahulu bagi membolehkan syarikat menjana pendapatan dengan segera.

“Untuk fasa kedua dan ketiga, ia bergantung dengan rakan usaha sama (JV) mengenai jenis produk yang mahu disimpan. Ia boleh jadi minyak mentah, gas petroleum cecair (LPG), gas asli cecair (LNG) atau diesel.

“Kami mengadakan perbincangan dengan pelabur asing dari China, Hong Kong dan Asia Barat. Tiada pelabur tempatan, namun kami terbuka jika ada yang berminat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Ogos 2019 @ 6:54 AM