PESTA buku POPULAR Mega Bookfair diadakan hingga Ahad depan.
Hazwan Faisal Mohamad
bisnes@hmetro.com.my


POPULAR Book Co (M) Sdn Bhd menawarkan lebih banyak pilihan produk kanak-kanak di pesta buku POPULAR Mega Bookfair yang memasuki tahun ketiga penganjurannya kali ini.

Pengurus Kanan Projek Khasnya, Helen Goh berkata, keputusan itu dibuat selepas kajian dilaksanakan pihaknya mendapati kebanyakan pelanggan terdiri daripada mereka yang berkeluarga.

Selain itu, katanya, ia bertujuan memupuk dan menggalakkan budaya membaca dalam kalangan kanak-kanak sewaktu cuti sekolah ini.

“Tahun ini, kami lebih menekankan kepada produk untuk kanak-kanak termasuk bahan bacaan, komik, buku mewarna, alat tulis dan permainan.

“Ini kerana kami menyedari sepanjang cuti sekolah, rata-rata pelanggan kami adalah yang berkeluarga dan mengambil peluang menawarkan produk untuk kanak-kanak,” katanya.

Pesta buku yang diadakan di Pusat Konvenysen Sunway Pyramid bermula Jumaat lalu sehingga Ahad depan menyasarkan menarik kehadiran lebih 100,000 pengunjung.

Ia dibuka bermula dari jam 10 pagi hingga 10 malam dan menawarkan pelbagai koleksi buku dan bahan bacaan dalam bahasa Melayu, Inggeris atau Cina.

Terdahulu, Goh menyampaikan sumbangan berupa baucar tunai dan bahan bacaan kepada 40 kanak-kanak anak yatim dari Rumah Victory dan Sweet Care Home sebagai tangungjawab sosial korporat syarikat berkenaan.

Goh berkata, pesta buku seterusnya diadakan di tiga negeri termasuk di Johor, Melaka dan Pulau Pinang pada November dan Disember ini.

Bookfest@Malaysia yang dianjurkan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada Jun lalu dengan keluasan ruang sehingga 180,000 kaki persegi adalah pesta buku terbesar kami anjurkan setiap tahun.

“Bagi POPULAR Mega Bookfair ini pula, ia adalah pesta buku kedua terbesar yang kami anjurkan yang biasanya diadakan di ruang seluas 50,000 kaki persegi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Ogos 2019 @ 7:52 AM