SUKU daripada peminat e-sukan di Asia Tenggara adalah dari Malaysia
Nabil Basaruddin
am@hmetro.com.my


Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) yakin sukan elektronik atau e-sukan mempunyai potensi pertumbuhan tinggi kepada ekonomi negara dan bersedia untuk mengukuhkannya dengan membangunkan lebih banyak infrastruktur bagi melengkapkan ekosistem industri itu.

Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Surina Shukri berkata, melihat kepada peranan e-sukan itu sendiri, ia adalah antara pemangkin utama dalam merangsang perkembangan sektor permainan (gaming) di Malaysia.

Katanya, sektor permainan menunjukkan prestasi dan pencapaian luar biasa apabila mencatatkan peningkatan dari 13.1 peratus kepada 16.3 peratus pada 2016-2017 mencecah AS$587 juta (RM2.46 bilion) manakala pertumbuhan global pula dianggarkan sekitar 10 peratus.

“e-sukan adalah sektor pertumbuhan yang penting kepada pembangunan ekonomi negara.

“Kepentingan industri itu turut terbukti apabila ia mendapat pengiktirafan rasmi sebagai acara medal penuh pada temasya Sukan Asia 2022.

“Malah, Jawatankuasa Antarabangsa Olimpik juga sedang mempertimbangkannya sebagai salah satu acara pada Olimpik di Perancis pada 2024,” katanya pada majlis pelancaran Level Up KL 2019.

Turut hadir, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo dan Ketua Setiausaha KKMM, Datuk Suriani Ahmad.

Selain pelancaran program itu, turut diadakan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara MDEC dan Persekutuan e-sukan Malaysia untuk bekerjasama membangun, mempromosi dan mempercepatkan pertumbuhan e-sukan tempatan.

Mengulas lanjut, Surina berkata, berdasarkan kepada kajian pasaran oleh Newzoo dan Niko Partners, e-sukan adalah pemacu penting kepada pasaran permainan global di seluruh dunia.

“Malaysia juga tidak terkecuali dalam perkara ini memandangkan negara ini mempunyai lebih 1.3 juta peminat segmen e-sukan ini, malah ia semakin berkembang lagi.

“Selain itu, rantau Asia Tenggara pula adalah pasaran e-sukan yang paling pantas berkembang di dunia dengan lebih 11.2 juta peminat dan berjaya menjana pendapatan melalui permainan mudah alih sebanyak AS$4.4 bilion (RM18.42 bilion) pada 2018 dan jumlah itu dijangka mencecah AS$7.5 bilion (RM31.39 bilion) menjelang 2022,” katanya.

Secara kasarnya, suku daripada peminat e-sukan di Asia Tenggara adalah dari Malaysia walaupun negara ini hanyalah lima peratus daripada populasi keseluruhan untuk Asean.

Pencapaian yang memberangsangkan negara ini dalam sektor permainan juga berjaya meletakkan Malaysia pada kedudukan ke-21 dari segi pendapatan permainan global tahun lalu pada AS$654 juta (RM2.74 bilion), mendahului negara maju lain seperti Belanda dan Poland.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Ogos 2019 @ 7:43 AM