KHAIRUL Nizam (kiri) menunjukan minyak pelincir yang terbaharu.

Petaling Jaya: My FlexiTank Industries Sdn Bhd (My FlexiTank), pengedar tunggal bagi minyak pelincir jenama Pertamina menyasarkan peningkatan jualan antara 150,000 liter hingga 200,000 liter pada tahun ini berbanding 100,000 liter sebelum ini.

Pengurus Besarnya, Khairul Nizam Mustafa berkata, segmen motosikal dan kenderaan penumpang dijangka menjadi penyumbang utama kepada jumlah sasaran terbabit diikuti segmen industri berat.

Menurutnya, syarikat memberi fokus kepada jualan dalam segmen motosikal terlebih dahulu berikutan permintaan tinggi dan penggunaan yang lebih meluas di pasaran.

“Langkah ini menjadikan jenama kami semakin kukuh di pasaran dan terus berkembang kepada segmen kenderaan penumpang diikuti industri atau jentera berat, sekali gus menyumbang kepada peningkatan jualan secara berperingkat sepanjang tahun,” katanya pada Bisnes Metro, di sini.

My FlexiTank adalah anak syarikat kepada Yasmin Holdings Sdn Bhd yang mula memasarkan minyak pelincir jenama Pertamina sejak 2014.

Beliau berkata, syarikat berhasrat menguasai lima peratus pasaran minyak pelincir tempatan dengan fokus kepada kenderaan penumpang dan industri jentera berat pada masa depan.

“Kami optimis ia mampu direalisasikan berikutan ia menawarkan kualiti tinggi dan diterima seluruh dunia, ditambah ia dihasilkan Pertamina iaitu syarikat minyak nasional dari Indonesia.

“Harga jualan lebih murah berbanding produk sedia ada di pasaran bakal memberi kelebihan kepada jenama ini untuk mengukuhkan penguasaan dalam pasaran tempatan selepas ini,” katanya.

Dalam perkembangan sama, syarikat itu membuka peluang kepada orang ramai atau pemilik bengkel untuk menyertai rangkaian perniagaannya sebagai ejen dengan modal serendah RM3,000.

“Kita sasarkan untuk melantik sekurang-kurangnya tiga atau empat orang ejen di setiap negeri pada akhir tahun ini dalam usaha meluaskan penjualan produk Pertamina di Malaysia,” katanya.

Ketika ini, produk Pertamina boleh didapati di lebih 100 bengkel dan pengedar sah seluruh negara dengan harga bermula dari RM16 hingga RM226.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Ogos 2019 @ 10:06 AM