NOKIA merekodkan maklum balas memberangsangkan menerusi jualan telefon pintar di Malaysia.

KUALA LUMPUR: Jenama telefon mudah alih terkemuka, Nokia menyasarkan untuk berada di kelompok lima jenama teratas dalam pasaran telefon mudah alih di negara ini menjelang akhir tahun ini.

Jenama dari Finland itu kembali membuat kemunculan semula dengan lebih agresif di negara ini sejak Mei 2017, selepas HMD Global diberi lesen oleh Nokia Corporation untuk mengeluarkan peranti elektronik berjenama Nokia.

Untuk segmen telefon pintarnya, Nokia kini menjalin kerjasama dengan Google untuk beroperasi menggunakan platform Android One.

Pengurus Negara (Malaysia dan Myanmar) HMD Global, Vijay Thangavelu, berkata, sasaran menyaingi jenama telefon mudah alih lain itu dibuat selepas pihaknya merekodkan maklum balas yang amat memberangsangkan menerusi jualan telefon Nokia di sini.

“Ia menunjukkan aliran meningkat dan Nokia bukan sahaja mempunyai telefon pintar tetapi juga telefon asas yang turut mendapat tempat di hati pengguna yang mahukan telefon untuk dijadikan sandaran sekiranya berlaku sebarang kerosakan pada telefon pintar mereka.

“Sebelum ini, ramai pengguna tidak tahu jenama Nokia sudah menggunakan platform Android One untuk segmen telefon pintarnya kerana kurangnya publisiti dibuat untuk menghebahkan perkara berkenaan.

“Kini, HMD Global rancak memberi kesedaran kepada pengguna di negara ini dan pengguna Nokia boleh menikmati pengalaman penggunaan platform Android One yang berbeza dengan platform Android oleh peranti pintar jenama lain,” katanya.

Mengulas lanjut, Vijay berkata, apa yang membezakan Android One dengan platform yang biasa ialah ia tidak mempunyai aplikasi yang tidak digunakan dan dimuat turun secara automatik dalam telefon pintar.

“Tambah menyulitkan, aplikasi berkenaan tidak boleh dipadam daripada sistem dan ia menyebabkan pengguna kerugian kapasiti simpanan data.

“Selain itu, ia juga memberi kesan kepada tempoh hayat bateri kerana aplikasi berkenaan tetap berfungsi walaupun tidak digunakan,” katanya.

Pada masa ini, HMD Global memasarkan 17 model telefon pintar Nokia di pasaran Malaysia dengan harga permulaan serendah RM299 bagi model Nokia 1 hinggalah RM1,399 bagi model Nokia 7 Plus.

Menyedari persaingan sengit dengan jenama lain di pasaran, Vijay berkata pihaknya menyediakan nilai tambah bagi pengalaman pengguna yang membeli telefon pintar keluarannya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Ogos 2019 @ 10:03 AM