SYAHRUNIZAM (kiri) bersama Yeoh pada majlis kerjasama di antara TNGD dan TGV Cinemas.
Nabil Basaruddin
nabil.basaruddin@hmetro.com.my


TNG Digital Sdn Bhd (TNGD) menjalin kerjasama strategik bersama TGV Cinemas bagi menyediakan perkhidmatan pembayaran tanpa tunai melalui Touch ‘n Go eWallet di semua 35 pawagam TGV di seluruh negara.

Ketua Pegawai Eksekutif TNGD, Syahrunizam Samsudin berkata, usaha sama itu bertujuan mempromosi dan mewujudkan komuniti tanpa tunai dengan menyediakan servis seumpama itu sebagai kemudahan khususnya kepada kaki wayang.

Beliau berkata, kini semua pawagam TGV Cinemas boleh menerima pembelian tiket wayang melalui dompet elektronik (e-dompet) TNG sama ada di kaunter atau secara atas talian melalui laman web pawagam itu.

“Kami teruja menjalin kerjasama dengan peneraju pawagam di negara ini, TGV Cinemas yang mana ia dapat memberikan kelainan menerusi kaedah pembayaran dan transaksi.

“Sejak diperkenalkan tahun lalu, kami berharap dengan usaha dilakukan seperti kerjasama seumpama ini dapat membawa semua pengguna untuk beralih ke arah menjadi masyarakat tanpa tunai.

“Malah, setakat ini, kami merekodkan sekitar lima juta pengguna dengan lebih 70,000 peniaga menerima servis ini,” katanya pada majlis kerjasama antara TNGD dan TGV Cinemas di sini, semalam.

Majlis itu turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif TGV Cinemas, Yeoh Oon Lai.

Sempena pelancaran kerjasama dua pihak itu, bermula 1 September depan, pengguna e-dompet TNG berpeluang menikmati dua promosi khas apabila membeli tiket wayang menggunakan aplikasi e-dompet.

Antaranya tiket wayang berharga RM10 untuk semua filem pada bila-bila masa yang mana promosi itu adalah sah untuk sepanjang tahun ini di seluruh pawagam TGV.

Selain itu, turut terdapat promosi kombo pada harga RM25 merangkumi dua tiket wayang dan satu kombo bertih jagung.

Sementara itu, Yeoh berkata, pihaknya sentiasa giat melabur untuk meningkatkan infrastruktur digital dalam tempoh beberapa tahun ini bagi menambah baik pengalaman pembelian pelanggan secara atas talian.

Katanya, pawagam itu juga mempunyai laman web yang baharu dilancar serta aplikasi telefon pintar untuk memudahkan pelanggan menonton wayang bersama TGV Cinemas.

“Kerjasama dengan TNGD ini juga memberi lonjakan terhadap momentum kepada pertumbuhan perniagaan teras syarikat yang berperanan untuk menawarkan persekitaran pembayaran secara digital,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Ogos 2019 @ 9:23 AM