SALIM Majid
Nabil Basaruddin
nabil.basaruddin@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: FWD Takaful Berhad (FWD Takaful) menyasarkan 15 peratus penguasaan pasaran dalam segmen takaful di negara ini dalam tempoh lima tahun akan datang.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Salim Majid Zain berkata, syarikat itu ketika ini berada di kedudukan ke-11 dalam kalangan 12 syarikat insurans di Malaysia.

Beliau berkata, pihaknya mempunyai pelbagai perancangan strategik bagi memastikan FWD Takaful dapat menjadi antara lima firma utama dalam tempoh lima tahun ini.

“Kami yakin dengan potensi pertumbuhan jangka panjang industri takaful di Malaysia memandangkan negara ini adalah antara hab global terkemuka bagi kewangan Islam.

“Malah, kami juga mahu mewujudkan pasaran takaful yang lebih pesat di samping menawarkan pelbagai penyelesaian takaful untuk pelbagai keperluan rakyat Malaysia,” katanya pada majlis pelancaran jenama itu di sini.

Pelancaran jenama itu disempurnakan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

FWD Takaful secara rasmi melancarkan jenamanya di Malaysia dan memperkenalkan visi untuk mengubah pandangan orang ramai mengenai takaful.

Selain itu, Malaysia juga adalah pasaran kesembilan FWD Group dalam tempoh hanya lima tahun yang akan memanfaatkan kelebihan serta kepakaran FWD dalam perniagaan insurans dan perlindungan.

FWD Group ditubuhkan pada 2013 dan berkembang di sembilan negara antaranya Hong Kong, Macau, Thailand, Indonesia, Filipina, Singapura dan Vietnam.

Ketika ini, ia memiliki lima juta pelanggan dengan 4,600 tenaga kerja dan 17,900 ejen berdaftar di samping merekodkan AS$30 bilion (RM124 bilion) aset.

Mengulas lanjut mengenai FWD Takaful, Salim berkata, pihak syarikat berhasrat untuk menawarkan akses yang mudah kepada produk takaful keluarga kepada semua lapisan masyarakat.

“Kami mahu mengubah budaya konvensional dan mencipta pengalaman pelanggan yang lebih segar menerusi teknologi digital,” katanya.

Selain itu, syarikat itu turut memperuntukkan pelaburan bernilai RM1.06 bilion dalam usahanya untuk menjadi penyumbang kepada pertumbuhan sektor takaful di Malaysia.

Antaranya termasuk menubuhkan Pusat Data Kuala Lumpur FWD, Hab Inovasi dan Takaful serta penawaran produk berfokus kepada golongan B40.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Julai 2019 @ 8:44 AM