SURINA (tiga dari kanan) menyampaikan hadiah kepada tiga pemenang Program Eusahawan sambil ditemani Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Fund, Razif Abdul Aziz (dua dari kiri) dan Pengasas Bersama Proficeo, Dr Sivapalan Vivekarajah di Bilik Oak, Nexus Bangsar, Kerinchi. FOTO: Nik Hariff Hassan
Suffian A Bakar
bisnes@hmetro.com.my


PEREKA dari Sabah menjual pakaian batik Borneo, syarikat jus kurma dan perniagaan sarung lengan muslimah adalah antara usahawan tempatan meraih manfaat daripada program eUsahawan Level Up.

Ia adalah program lanjutan daripada inisiatif eUsahawan yang dimulakan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).

Ketua Pegawai Eksekutif MDEC dan eUsahawan Surina Shukri berkata, program hasil kerjasama antara MDEC dan program Coach and Grow Cradle Fund Sdn Bhd itu menawarkan latihan khusus kepada 50 peserta berpotensi tahun ini, dipilih daripada 113,588 usahawan mikro yang dilatih di bawah program eUsahawan pada 2018.

Beliau berkata, mereka adalah kumpulan kedua yang menamatkan program eUsahawan Level Up yang terbukti menghasilkan nilai berganda kepada ekonomi negara.

“Peserta daripada kumpulan pertama memulakan program ini lebih setahun lalu mencapai purata pertumbuhan perniagaan terkumpul sebanyak 85 peratus dalam waktu latihan, berbanding perusahaan kecil dan sederhana (PKS) lain yang biasanya berkembang tujuh hingga lapan peratus setahun.

“Kumpulan terkini graduan ini mencapai pendapatan terkumpul lebih RM11 juta, 106 peratus lebih tinggi daripada sasaran yang mereka tetapkan pada permulaan program,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis graduasi 50 peserta yang tamat program eUsahawan Level Up kumpulan kedua di Kuala Lumpur, hari ini.

Surina berkata, dalam era ekonomi digital ini, usahawan MDEC adalah pemacu pertumbuhan ekonomi digital Malaysia.

“Program eUsahawan Level Up adalah sebahagian daripada komitmen kami untuk memupuk usahawan berpotensi tinggi untuk mewujudkan perniagaan yang mapan menerusi peningkatan keupayaan digital dan bimbingan mentor, antaranya.

“Program intensif enam bulan itu melengkapkan usahawan dengan pengetahuan dan kemahiran untuk mendorong perniagaan mereka ke pentas global dan berkembang di luar sempadan biasa,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Julai 2019 @ 8:16 PM