LIM Guan Eng (empat dari kanan) bersama Salim (empat dari kiri) ketika majlis pelancaran FWD Takaful Berhad di Kuala Lumpur. FOTO Syarafiq Abd Samad
Nabil Basaruddin
nabil.basaruddin@hmetro.com.my


MALAYSIA adalah pasaran berpotensi tinggi sebagai destinasi untuk mengembangkan pertumbuhan industri takaful keluarga di rantau ini.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, berdasarkan kepada angka oleh Persatuan Takaful Malaysia (MTA), pada 2018 sumbangan perniagaan baharu untuk takaful berkembang sekitar 13.1 peratus kepada RM4.91 bilion berbanding RM4.35 bilion pada tahun sebelumnya.

Beliau berkata, perkara itu turut disokong dengan laporan yang dikeluarkan awal tahun lalu oleh agensi penarafan, Fitch Ratings Report yang menjangkakan segmen takaful dapat menyumbang 75 peratus untuk industri insurans pada 2020.

“Meskipun sektor ini mempunyai pertumbuhan yang menggalakkan, namun menurut Bank Negara Malaysia (BNM), hampir separuh rakyat negara ini tidak mempunyai perlindungan di mana kadar penembusan kekal pada kadar 55 peratus sejak beberapa tahun lalu.

“Jadi, sebenarnya lebih banyak usaha perlu dilakukan bagi meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan manfaat perlindungan takaful dalam kalangan rakyat Malaysia.

“Kerajaan turut berharap dapat merealisasikan kadar penembusan insurans sehingga 75 peratus pada tahun hadapan,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran jenama FWD Takaful Berhad di Kuala Lumpur, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Pacific Centeru Group, Richard Li dan Ketua Pegawai Eksekutif FWD Takaful, Salim Majid Zain.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Julai 2019 @ 6:57 PM