MOHD Azizi (kanan) melihat replika rumah pada majlis pelancaran Koleksi Hartanah PKNS Siri 2 tahun 2019 di Kompleks PKNS.
Hazwan Faisal Mohamad
bisnes@hmetro.com.my


SHAH ALAM: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) menyasarkan jualan RM60 juta sepanjang penganjuran ekspo Koleksi Hartanah PKNS siri kedua tahun 2019 yang bermula Jumaat lalu.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Mohd Azizi Mohd Zain berkata, sasaran itu lebih tinggi berbanding siri pertama yang diadakan pada Mac lalu yang hanya berjaya mencatat jualan sebanyak RM10 juta.

Katanya, untuk siri kedua ini, PKNS yakin sasaran itu mampu dicapai bersandarkan tawaran menarik diberi kepada pembeli termasuk rebat dan diskaun khas.

“Menariknya pada ekspo kali ini, kami menawarkan diskaun tambahan sebanyak RM5,500 kepada 55 pembeli terawal sempena ulang tahun PKNS ke-55 pada 1 Ogos depan.

“Bukan itu saja, rebat sehingga 20 peratus turut ditawarkan kepada pembeli selain kos guaman perjanjian jual beli (SPA) dan duti setem memorandum pertukaran percuma,” katanya pada majlis pelancaran ekspo itu.

Ekspo selama 10 hari itu menawarkan 2,500 unit kediaman milik PKNS dan anak syarikatnya dengan harga bermula dari RM200,000 seunit sehingga RM3 juta seunit bergantung kepada jenis, saiz dan lokasi hartanah.

Mengulas lanjut, Mohd Azizi berkata, PKNS juga memeterai kerjasama dengan Maybank Bhd dalam pelaksanaan Skim Smart Selangor First Home Buyer.

Permohonan hanya boleh dibuat di cawangan Maybank Seksyen 14, Shah Alam.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Julai 2019 @ 7:44 AM