IKEA peneraju pusat beli-belah yang merangkumi hiburan, premis makanan dan rangkaian jenama terkemuka di Batu Kawan.
Nabil Basaruddin
nabil.basaruddin@hmetro.com.my


PULAU PINANG: IKEA Asia Tenggara kini bersedia untuk membuka fasa pertama pusat beli-belah yang bersambung terus dengan gedung perabot kelengkapan rumahnya, sekali gus meningkatkan rangkaian premis campuran baharu di Aspen Vision City.

Pengarah Urusan IKEA Asia Tenggara, Christian Rojkjaer berkata, destinasi pusat beli-belah itu dijangka menjadi tumpuan utama di Batu Kawan, Pulau Pinang.

Beliau berkata, rangkaian premis berkenaan dibuka pada penghujung tahun ini dan hingga kini hampir 85 peratus ruang disewakan.

“Antara penyewa pusat beli-belah ini adalah Sports Direct, Project Rock, 7-Eleven serta Harvey Norman dengan luas 50,000 kaki persegi yang mengetengahkan konsep rangkaian kedai jenama utama di luar Lembah Klang buat pertama kalinya.

“Kami hargai hubungan yang terbina sejak sekian lama dengan rakan kongsi seperti Harvey Norman.

“Menerusi kerjasama seperti ini, kami dapat menyediakan tempat pertemuan menarik untuk pelanggan dan bukan sekadar untuk membeli-belah,” katanya dalam kenyataan, di sini.

Di rantau ini, lima rangkaian IKEA menjadi tumpuan utama pusat beli-belah dan ia terbukti dapat menarik jutaan pengunjung, termasuk mereka dari kawasan yang jauh.

Di Pulau Pinang, fasa pertama pusat beli-belah itu menawarkan campuran penyewa yang unik bagi menarik pengunjung dan menggalakkan lebih banyak penyertaan jenama lain pada masa akan datang.

Sementara itu, Pengarah Urusan Pusat Beli-Belah Penggunaan Bercampur IKEA Asia Tenggara, Christian Olofsson berkata, pihaknya mencari penyewa yang boleh memenuhi permintaan pengguna dalam komuniti IKEA.

Katanya, sepanjang empat bulan IKEA Batu Kawan beroperasi, pihaknya dapati ramai penduduk Pulau Pinang berkunjung untuk menikmati hidangan makanan tengah hari dan malam.

“Jadi, kami fokus membawa masuk lebih banyak produk makanan dan minuman serta perkhidmatan bercirikan grab-and-go untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Julai 2019 @ 9:07 AM