PENDAPATAN TH dijangka terus meningkat apabila TH menerima manfaat penuh dari Sukuk Urusharta Jamaah Sdn Bhd. FOTO Zaman Huri Isa.
Sofyan Rizal Ishak
sofyan.rizal@hmetro.com.my


LEMBAGA Tabung Haji (TH) mencatatkan prestasi dan kedudukan kewangan yang semakin baik bagi separuh pertama tahun ini dipacu oleh strategi pelaburan mampan serta langkah pengurusan kos yang berhemat.

Untuk tempoh enam bulan pertama 2019, TH berjaya memperoleh memperoleh pendapatan berjumlah RM1.3 bilion dijana terutamanya daripada pelaburan aset pendapatan tetap sebanyak RM663 juta, pelaburan hartanah

(RM292 juta) dan instrumen pasaran wang Islam (RM199 juta).

Pendapatan TH dijangka terus meningkat apabila TH menerima manfaat penuh dari Sukuk Urusharta Jamaah Sdn Bhd yang telah diterbitkan pada 30 Mei 2019 yang lalu.

“Keuntungan bersih TH juga telah meningkat kepada RM815 juta hasil langkah berterusan penjimatan kos pengurusan dan pentadbiran,” kata TH dalam kenyataan di Kuala Lumpur, hari ini.

Menurut TH, perubahan strategi pelaburan TH kepada aset pelaburan lebih stabil telah berjaya mengurangkan tekanan daripada keadaan pasaran kewangan tidak menentu akibat ketegangan perang dagang di peringkat global.

“Pada 30 Jun 2019, kedudukan kewangan TH kekal kukuh apabila jumlah aset telah melebihi jumlah liabiliti iaitu sebanyak RM1.8 bilion dengan jumlah aset RM74.0 bilion manakala jumlah liabiliti RM72.2 bilion,” katanya.

Dalam masa sama, sokongan pendeposit kekal utuh dengan jumlah deposit yang kekal tinggi pada paras RM71.0 bilion setakat 30 Jun 2019.

“Seperti tahun-tahun sebelum ini, TH telah menjangkakan peningkatan pengeluaran dalam separuh pertama tahun 2019 selepas pengumuman hibah dibuat serta apabila bermulanya musim haji,” katanya.

Sementara itu, TH mengumumkan operasi Musim Haji 1440H/2019M berjalan lancar dengan penerbangan pertama jemaah haji mendarat di Madinah pada 4 Julai 2019 yang lalu.

Sehingga 24 Julai 2019, sebanyak 42 penerbangan yang membawa lebih 20 ribu jemaah haji berlepas dan selamat tiba di Tanah Suci dengan jemaah Muassasah di Makkah akan menginap di 14 hotel yang terletak sekitar 600 hingga 950 meter daripada Masjidil Haram.

“Sehingga kini, pengendalian operasi haji berjalan lancar tanpa sebarang kejadian yang tidak diingini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Julai 2019 @ 12:29 PM