KERAJAAN Selangor, Airbus di peringkat akhir rundingan tingkat kemudahan. FOTO Asyraf Hamzah
BERNAMA

KUALA LUMPUR: Selangor bercadang memberi nafas baharu kepada Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTAAS) yang juga dikenali sebagai Subang Skypark sejajar dengan hasrat untuk terus memperkukuh portfolio aeroangkasa di negeri itu.

Menteri Besar Amirudin Shari berkata, ketika ini Selangor dalam peringkat akhir perbincangan dengan Airbus, perintis antarabangsa dalam sektor aeroangkasa untuk meningkatkan fasilitinya di Subang dan pengumuman berhubung projek itu akan dilaksanakan sebelum pembentangan belanjawan negeri.

“Kami juga mahu membabitkan penyertaan syarikat milik MBI (Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan),” katanya pada sidang akhbar selepas pelancaran forum Selangor: Regional Powerhouse di sini, semalam.

Pada April, Airbus Helicopters dilaporkan mengembangkan kedudukannya di Malaysia dengan menawarkan lebih banyak produk dan perkhidmatan di fasilitinya di Subang, menjadikan Malaysia sebagai hab serantau bagi perkhidmatan helikopter, sokongan pelanggan dan latihan.

Ini termasuk membuka pusat penyerahan dan penyiapan helikopter baharu, penyepaduan semua perkhidmatan pembaikan dan penyelenggaraan berat di Asia Tenggara bagi fasiliti itu, selain tambahan simulator latihan penerbangan kedua.

Menurut Amirudin, Selangor mempunyai 200 syarikat aeroangkasa dan menetapkan tiga kawasan spesifik di negeri itu iaitu Serendah, Subang dan Sepang.

“Selangor menyumbang kira-kira 62 peratus daripada jumlah (perniagaan) aeroangkasa di Malaysia,” katanya.

Selain aeroangkasa, Amirudin berkata, Selangor juga akan menumpukan kepada industri lain antaranya elektrik dan elektronik serta makanan dan minuman.

“Faktor sosioekonomi dan infrastruktur yang baik telah menjadikan Selangor sebagai prospek menarik untuk pelaburan,” katanya.

Pada 2018, Selangor menerima RM10.87 bilion pelaburan langsung asing (FDI), antara yang tertinggi di negara ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Selangor MBI, Raja Shahreen Raja Othman berkata, beliau optimis untuk meraih lebih RM10 bilion dalam FDI.

“Ini adalah sasaran konservatif. Kami sudah pasti menuju ke arah mencapai sasaran,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Julai 2019 @ 6:58 AM