SAIFUDDIN melawat ruang pameran pada Persidangan Kebangsaan SSM 2019 anjuran Suruhanjaya Syarikat Malaysia. FOTO Zulfadhli Zulkifli
Sofyan Rizal Ishak
sofyan.rizal@hmetro.com.my


PETALING JAYA: Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) memperkenalkan Pelan Induk Skim Kepentingan dalam usaha untuk mengembangkan lagi industri skim kepentingan yang dilihat berpotensi besar untuk membantu pertumbuhan ekonomi negara.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pada masa ini ada 214 skim kepentingan didaftarkan di negara ini dengan jumlah pelaburan RM29 bilion.

“Saya optimis pengenalan pelan induk ini bertepatan pada masanya berikutan terdapat keperluan merealisasikan potensi penuh skim ini,” katanya selepas majlis pelancaran Pelan Induk Skim Kepentingan bersempena Persidangan Kebangsaan SSM 2019, di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Setiausaha KPDNHEP iaitu Datuk Muez Abd Aziz dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif SSM (Perkhidmatan Korporat), Nor Azimah Abdul Aziz.

Skim Kepentingan ditakrifkan sebagai satu aktiviti ekonomi yang berasaskan pengambilan deposit atau wang daripada orang ramai selain saham sebagai tukaran untuk mendapat kepentingan dalam sesebuah skim.

Berdasarkan seksyen 4 (1) Akta Skim Kepentingan 2016, skim itu terdiri daripada empat jenis skim iaitu skim pelaburan, keahlian rekreasi, kongsi masa atau gabungan mana-mana skim terbabit.

Pada masa ini, skim kepentingan yang didaftarkan di bawah kategori Kelab Golf, Rekreasi dan Marina adalah skim paling popular dengan jumlah sebanyak 139 skim.

Menurutnya, potensi yang ditawarkan melalui Pelan Induk Skim Kepentingan adalah pembiayaan alternatif, memanfaatkan peluang dari inovasi gaya hidup, membangunkan industri sokongan, kelas aset alternatif, membantu pertumbuhan ekonomi negara dan menjana kemakmuran bersama.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Julai 2019 @ 6:42 AM